
WASHINGTON, 17 Januari – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menawarkan diri untuk menjadi pengantara dalam pertikaian mengenai pembahagian air Sungai Nil antara Mesir dan Ethiopia.
- Trump menawarkan diri sebagai pengantara untuk menyelesaikan pertikaian pembahagian air antara Mesir dan Ethiopia.
- Pertikaian memuncak selepas perasmian Empangan Grand Ethiopian Renaissance yang mencetuskan kemarahan Mesir.
- Mesir bimbang empangan itu menyalahi perjanjian antarabangsa dan boleh menyebabkan kemarau serta banjir.
Dalam sepucuk surat kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, Trump menyatakan kesediaannya untuk menghidupkan semula peranan pengantaraan AS bagi menyelesaikan isu perkongsian air Sungai Nil.
“Saya bersedia untuk memulakan semula pengantaraan AS antara Mesir dan Ethiopia bagi menyelesaikan isu perkongsian air Sungai Nil secara bertanggungjawab dan muktamad,” tulis Trump dalam surat itu, yang turut dimuat naik di akaun Truth Social miliknya.
Pertikaian berkenaan semakin memuncak susulan perasmian Empangan Grand Ethiopian Renaissance (GERD) oleh Ethiopia pada 9 September lalu, yang mencetuskan kemarahan Mesir selaku negara hiliran Sungai Nil.
Ethiopia, negara kedua paling padat penduduk di Afrika dengan lebih 120 juta penduduk, menganggap empangan bernilai AS$5 bilion yang dibina di salah satu cabang Sungai Nil itu sebagai tonggak utama kepada agenda pembangunan ekonominya.
Sebaliknya, Mesir berpendapat pembinaan empangan tersebut melanggar perjanjian antarabangsa dan berpotensi menyebabkan kemarau serta banjir di negara itu, dakwaan yang dinafikan oleh Ethiopia.
Trump sebelum ini beberapa kali memuji al-Sisi, termasuk semasa lawatan ke Mesir pada Oktober lalu bagi menandatangani perjanjian berkaitan konflik Gaza. Dalam kenyataan awam, Trump juga pernah menyuarakan kebimbangan selari dengan pendirian Mesir mengenai isu air Sungai Nil. – REUTERS