Trump kecam Britain, Sepanyol

Donald Trump / AFP

WASHINGTON, 4 Mac- Amerika Syarikat menerusi Presidennya, Donald Trump mengkritik Britain dan Sepanyol kerana tidak menyokong sepenuhnya tindakan ketenteraan Washington terhadap Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump kritik Britain kerana tidak menyokong sepenuhnya serangan AS terhadap Iran dan sindir Keir Starmer.
  • Beliau marah kepada Sepanyol kerana menolak penggunaan pangkalan tentera untuk serangan terhadap Iran.
  • Trump mengancam menamatkan semua urusan perdagangan dengan Sepanyol, walaupun kuasa sedemikian masih tidak jelas.

Beliau dalam masa sama turut mengancam untuk menamatkan semua urusan perdagangan dengan Sepanyol.

Trump turut menyatakan beliau “tidak gembira” dengan pendirian United Kingdom (UK), malah menyindir Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dengan berkata: “Kita bukan berurusan dengan Winston Churchill.”

Terdahulu, Britain memutuskan untuk tidak menyertai serangan terhadap Iran yang dilancarkan Trump bersama Israel pada Sabtu.

Starmer berkata jet pejuang AS dibenarkan menggunakan dua pangkalan udara UK bagi “tujuan pertahanan yang khusus dan terhad”, masing-masing terletak di Gloucestershire (barat England) dan di pangkalan bersama UK-AS di Diego Garcia, Lautan Hindi.

Tegas Starmer, AS tidak diberi kebenaran untuk menggunakan pangkalan UK di Cyprus, selepas salah satu kemudahan itu dilaporkan diserang dron buatan Iran.

“Kami mengambil masa tiga, empat hari untuk menentukan di mana kami boleh mendarat. Pendaratan di sana sepatutnya lebih mudah, berbanding terbang dengan lebih masa,” kata Trump yang merujuk kepada Diego Garcia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media bersama Canselor Jerman, Friedrich Merz di White House.

Sementara itu, Trump juga meluahkan kemarahan terhadap Sepanyol.

Ia berikutan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Pedro Sanchez dilapor tidak membenarkan AS melancarkan serangan terhadap Iran melalui pangkalan tentera yang telah lama digunakan oleh tentera AS.

“Sepanyol sangat teruk,” katanya sambil menambah telah mengarahkan Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent agar menghentikan semua urusan dengan Sepanyol.

Beliau turut membangkitkan penolakan Sepanyol untuk menyokong komitmen sekutu NATO meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), seperti yang didesak.

“Jadi kami akan memutuskan semua perdagangan dengan Sepanyol. Kami tidak mahu ada kaitan dengan Sepanyol.”

Bagaimanapun, kuasa sebenar Presiden AS untuk menamatkan perdagangan dengan Sepanyol masih belum jelas, selepas Mahkamah Agung sebelum ini membatalkan penggunaan kuasa darurat bagi mengenakan tarif terhadap negara lain. -AFP.