Trump gesa negara-negara utama lindungi Selat Hormuz

Foto Reuters

WASHINGTON, 2 April – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa beberapa negara utama berperanan lebih aktif dalam memastikan keselamatan Selat Hormuz susulan ketegangan berterusan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Trump menggesa negara-negara utama, termasuk Perancis dan Korea Selatan, supaya memainkan peranan lebih aktif melindungi Selat Hormuz.
  • Sejak akhir Februari, Iran menghalang kapal melalui Selat Hormuz selepas serangan AS dan Israel, menjejaskan eksport minyak Asia Barat.
  • Gangguan itu menyebabkan kenaikan harga bahan api global dan penganalisis menjangka aliran tenaga tidak pulih ke paras sebelum konflik segera.

Jelas beliau, negara seperti Jepun dan China memperoleh sebahagian besar bekalan minyak melalui Selat Hormuz.

Sementara Korea Selatan dan negara-negara Eropah mempunyai kepentingan besar di laluan strategik tersebut.

“Jadi biar mereka yang uruskan. Biar Perancis yang melakukannya. Mereka mendapat banyak minyak dari selat itu. Biar negara-negara Eropah yang lakukan. Biar Korea Selatan yang, secara jujurnya, tidak banyak membantu dalam hal ini,” katanya ketika berucap di White House.

Sejak akhir Februari lalu, Iran menghalang kapal melalui Selat Hormuz susulan serangan dilancar AS bersama Israel ke atas negara itu, sekali gus menjejaskan eksport minyak dari Asia Barat.

Gangguan tersebut turut menyebabkan kenaikan harga bahan api di peringkat global.

Penganalisis menjangkakan aliran tenaga melalui selat tersebut tidak akan kembali pulih ke tahap sebelum konflik dalam tempoh terdekat, meskipun gencatan senjata dicapai. – REUTERS