
TEHRAN, 7 April – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran bahawa “seluruh tamadun akan musnah” di Iran jika negara itu tidak mematuhi tarikh akhir tengah malam untuk membuka semula Selat Hormuz, ketika Tehran melaporkan serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas infrastrukturnya sudah pun bermula.
- Naib Presiden AS JD Vance berkata Amerika mempunyai alat dalam kit yang belum digunakan terhadap Iran.
- Pengawal Revolusi Iran mengancam menyekat bekalan minyak dan gas kepada AS dan sekutunya jika 'garis merah' dilanggar.
- Iran melaporkan serangan AS-Israel terhadap infrastruktur utama; Netanyahu mengesahkan serangan ke atas landasan kereta api dan jambatan.
- Serangan dilaporkan memusnahkan jambatan, lebuh raya dan landasan kereta api, termasuk kematian dua orang di luar Qom.
Bercakap di Budapest, Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, berkata negara itu mempunyai “alat dalam kit yang belum digunakan setakat ini” terhadap Iran, tanpa memperincikan lanjut.
Pengawal Revolusi Iran memberi amaran mereka akan menyekat bekalan minyak dan gas kepada Amerika Syarikat serta sekutunya jika Washington melanggar “garis merah” Tehran.
Kenyataan itu dibuat ketika Iran melaporkan Amerika Syarikat dan Israel telah memulakan serangan ke atas infrastruktur utama, dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengesahkan serangan terhadap landasan kereta api dan jambatan yang didakwa digunakan oleh Pengawal Revolusi.
Trump sebelum ini berikrar untuk melaksanakan “pemusnahan menyeluruh” terhadap infrastruktur kritikal Iran, khususnya jambatan dan loji janakuasa, jika tiada perjanjian dicapai.
Namun beberapa jam sebelum tarikh akhir, tentera Israel memaklumkan mereka telah menyelesaikan gelombang besar serangan yang menyasarkan “tapak infrastruktur” di seluruh Iran.
Menerusi platform Truth Social, Trump meningkatkan nada ultimatumnya dengan menyatakan “seluruh tamadun akan musnah malam ini dan tidak akan kembali lagi. Saya tidak mahu ia berlaku, tetapi kemungkinan besar akan terjadi” jika Iran tidak bersetuju dengan perjanjian.
Tidak jelas maksud sebenar kenyataan itu atau kaedah yang akan digunakan untuk melaksanakan ancaman tersebut.
Pihak berkuasa Iran melaporkan serangan termasuk ke atas sebuah jambatan di luar bandar Qom serta jambatan kereta api di tengah Iran yang mengorbankan dua orang.
Pihak berkuasa wilayah turut memaklumkan serangan memusnahkan lebuh raya utama di utara Iran yang menghubungkan bandar Tabriz dengan Tehran.
Agensi berita Mizan turut melaporkan serangan ke atas landasan kereta api di Karaj, berhampiran Tehran.-AFP