
WASHINGTON, 20 Februari- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Khamis mengarahkan agensi persekutuan untuk mula mengenal pasti dan mendedahkan fail kerajaan berkaitan ‘alien’ atau sebarang kehidupan luar angkasa, fenomena udara tidak dikenali (UAP) dan objek terbang tidak dikenali (UFO).
- Trump arah agensi persekutuan kenal pasti dan dedahkan fail berkaitan 'alien', UAP dan UFO.
- Arahan melibatkan setiausaha perang, jabatan dan agensi berkaitan.
- Trump kritik pendedahan bekas Presiden Obama sebagai satu kesilapan besar.
- Laporan Pentagon Mac 2024 tidak jumpa bukti UAP sebagai teknologi asing.
Trump menerusi platform Truth Social memaklumkan arahan itu melibatkan setiausaha perang, jabatan dan agensi berkaitan.
Beliau juga berkata tindakan bekas Presiden Barack Obama mendedahkan maklumat sulit mengenai kehidupan luar angkasa dalam podcast baru-baru ini sebagai “satu kesilapan besar.”
Obama sebelum ini berkata makhluk asing wujud tetapi tidak disimpan di Area 51.
“Mereka wujud tetapi saya belum pernah melihatnya dan ia tidak disimpan di Area 51,” kata Obama kepada hos Brian Tyler Cohen merujuk kepada fasiliti ketenteraan rahsia AS di Nevada yang menjadi fokus pelbagai teori konspirasi UFO.
Trump menegaskan beliau sendiri tidak tahu sama ada mereka benar-benar wujud atau tidak.
Minat terhadap UFO dan UAP meningkat selepas Kerajaan AS menyiasat pelbagai laporan penampakan yang mencurigakan.
Laporan Pentagon pada Mac 2024 menyatakan tiada bukti UAP adalah teknologi asing dengan banyak penampakan ternyata hanyalah aktiviti biasa seperti belon cuaca, pesawat perisik dan satelit. -AFP