Tragedi Nepal: 1,468 masih hilang, 392 terkorban

Foto AFP

KATHMANDU, 28 Ogos – Lebih 1,400 individu dilaporkan masih hilang manakala 392 mangsa disahkan terkorban berikutan kejadian banjir besar dan tanah runtuh yang melanda kawasan sempadan Nepal dan Tibet.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi SAR diteruskan di kawasan terjejas walaupun berdepan bentuk muka bumi ekstrem dan cuaca buruk.
  • Agensi bencana dan pihak berkuasa maklumkan jumlah mangsa berubah kerana kesukaran padanan data dan kemungkinan pertindihan rekod.
  • Pelbagai negara mengesahkan warganegara mereka hilang, termasuk Malaysia, India, Amerika Syarikat, China, Australia dan beberapa negara Eropah.

Agensi pengurusan bencana dan pihak berkuasa tempatan memaklumkan jumlah mangsa dijangka terus berubah-ubah berikutan kesukaran proses padanan data, kemungkinan pertindihan rekod kewarganegaraan serta keadaan huru-hara di kawasan bencana.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 1,468 individu berada dalam senarai hilang di kedua-dua belah sempadan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan di sepanjang kawasan terjejas walaupun berdepan cabaran bentuk muka bumi yang ekstrem dan cuaca buruk.

Berdasarkan maklumat rasmi daripada kementerian luar dan Lembaga Pelancongan Nepal, pecahan mangsa mengikut negara antaranya adalah seperti berikut:

Malaysia: Lembaga Pelancongan Nepal mengesahkan jumlah tepat seramai 51 orang.

India: Seramai 178 warganegara India dilaporkan hilang, manakala 11 orang berjaya diselamatkan.

Nepal: Seramai 127 pelawat tempatan disenaraikan sebagai hilang daripada jumlah keseluruhan pelancong yang didaftarkan.

Amerika Syarikat: Jabatan Negara AS melaporkan 90 warganegara mereka hilang, dengan tiga orang berjaya diselamatkan.

Ukraine: Kementerian Luar Ukraine mengesahkan 56 warganegaranya terputus hubungan, namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini.

Australia: Menteri Luar Australia, Penny Wong mengesahkan jumlah warganegara Australia yang hilang meningkat kepada 39 orang.

United Kingdom & Kanada: UK mencatatkan 33 orang hilang, manakala Kanada melaporkan 30 warganegara serta penduduk tetapnya masih belum dapat disahkan keberadaannya.

China: Lebih 100 warga China dilaporkan hilang di sebelah sempadan Nepal, selain daripada mangsa terjejas di wilayah Tibet.

Negara-negara lain turut mengesahkan mangsa hilang : Korea Selatan (9 orang), Singapura (9 orang), Jerman (8 orang), Rusia (8 orang), Afrika Selatan (6 orang), Jepun (5 orang), New Zealand (5 orang), Perancis (4 orang), Sepanyol (4 orang), Belgium (3 orang), Portugal (3 orang), Itali (3 orang), Belanda (2 orang), Ireland (2 orang), serta masing-masing seorang dari Belarus, Finland, negara haram Israel, Lithuania, Filipina, Serbia dan Sweden.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.