
DHAKA, 13 Februari– Tiga orang mengalami kecederaan ringan selepas sebutir bom buatan sendiri meletup di sebuah pusat mengundi di Daerah Gopalganj, kira-kira 100 kilometer ke barat daya ibu negara Dhaka pada pagi Khamis semasa pilihan raya umum berlangsung, lapor Xinhua memetik media tempatan.
- Bom buatan sendiri meletup di pusat mengundi Sekolah Antarabangsa Reshma, Gopalganj, menyebabkan tiga cedera ringan.
- Mangsa dibawa ke hospital; keadaan terkawal dan proses pengundian diteruskan seperti biasa.
- Pihak berkuasa percaya letupan bertujuan mencetuskan panik dan sedang mengenal pasti pihak bertanggungjawab.
- Seorang pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh, Mohibuzzaman Kochi, meninggal dunia selepas dilaporkan ditolak di pusat mengundi.
Pegawai kanan polis di Gopalganj, Md. Sarwar Hossain memberitahu wartawan bahawa letupan itu berlaku kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan di pusat mengundi Sekolah Antarabangsa Reshma.
Letupan itu menyebabkan kecederaan ringan dan kesemua mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut, katanya.
“Ketenteraman dan keselamatan kini terkawal sepenuhnya dan proses pengundian diteruskan seperti biasa di pusat berkenaan,” kata Hossain.
Beliau berkata letupan itu dipercayai bertujuan untuk mencetuskan panik dan pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab.
Pegawai pengurus pusat pengundian itu, Zahirul Islam berkata keadaan berjaya dikawal dengan pantas.
Dalam insiden berasingan, seorang pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh, Mohibuzzaman Kochi, meninggal dunia selepas didakwa ditolak sehingga terjatuh di sebuah lagi pusat mengundi.
Beliau dikejarkan ke hospital berdekatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor. Polis memaklumkan bahawa siasatan telah dilancarkan berhubung kejadian itu.
Pilihan raya parlimen Bangladesh bermula pagi Khamis dengan lebih 127 juta pengundi berdaftar dijangka menunaikan tanggungjawab mereka.- BERNAMA