Tentera Israel bunuh dua rakyat Palestin di utara Baitulmaqdis

Jenazah Sufyan Abu Leil, 46, (kiri) dan Mustafa Asaad Hamad, 22, (kanan) diarak penduduk yang menghadiri pengebumian mereka/ AFP

KUFR AQAB, 28 Mac- Dua rakyat Palestin terbunuh selepas ditembak tentera Israel di utara Baitulmaqdis pada Jumaat, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mustafa Asaad Hamad, 22, ditembak di Kufr Aqab; Sufyan Abu Leil, 46, parah selepas ditembak di kem Qalandia.
  • Serbuan tentera Israel ke atas kem Qalandia berlaku, menggunakan peluru hidup dan mencederakan beberapa penduduk.
  • Bapa Mustafa berkata tentera menceroboh sekitar tengah malam sebelum pertembungan; anaknya ditembak dua kali di kaki.
  • Kebimbangan meningkat tentang serbuan berulang, perobohan premis dan kemungkinan peluasan penempatan Israel di wilayah itu.

Mangsa dikenali sebagai Mustafa Asaad Hamad, 22, maut akibat tembakan di Kufr Aqab, manakala Sufyan Abu Leil, 46, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah akibat ditembak di kem Qalandia.

Pihak berkuasa Palestin memaklumkan tentera Israel melancarkan pencerobohan di kem pelarian Qalandia yang terletak bersebelahan Kufr Aqab, selain mencederakan beberapa penduduk menggunakan peluru hidup.

Bapa kepada Mustafa, Asaad Hamad berkata tentera zionis menceroboh kawasan berkenaan sekitar tengah malam sebelum tercetus pertembungan dengan penduduk tempatan.

“Anak saya ditembak dua kali di kaki. Peluru itu mengenai arteri dan dia syahid,” katanya.

Pencerobohan berulang oleh tentera Israel di kawasan seperti Qalandia dan Kufr Aqab dilaporkan semakin meningkat sejak awal tahun ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan.

Penduduk Palestin turut menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan ketenteraan dan perobohan premis akan membuka laluan kepada peluasan penempatan Israel di wilayah berkenaan.

Keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel sejak 1967 terus memuncak sejak tercetusnya perang di Gaza pada Oktober 2023 dan masih berlarutan meskipun gencatan senjata diumumkan sebelum ini. -AFP