
WASHINGTON, 13 November – Seorang maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian tembakan di dalam dan sekitar sebuah pusat kecergasan di kawasan Logan Circle, Washington, Amerika Syarikat (AS), semalam.
- Suspek ditemukan mengalami kecederaan tembakan dipercayai akibat tembakan sendiri selepas mengurung diri di sebuah unit apartmen berhampiran.
- Siasatan awal menunjukkan pertikaian dengan persatuan pemilik kediaman apartmen, namun punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti.
- Operasi besar membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan dilakukan; penduduk dipindahkan dan sebahagian diarahkan berlindung di kediaman masing-masing.
Pemangku Ketua Polis Washington, Jeffery Carroll berkata, mangsa yang maut ditembak ketika berada di dalam pusat kecergasan berkenaan, yang terletak kira-kira 1.6 kilometer dari White House.
“Seorang daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal, manakala tiga lagi mengalami kecederaan ringan yang tidak mengancam nyawa,” katanya.
Suspek pula ditemukan mengalami kecederaan tembakan yang dipercayai dilepaskan sendiri selepas mengurung diri di sebuah unit apartmen berhampiran lokasi kejadian.
Bagaimanapun, keadaan suspek masih belum dapat dipastikan, manakala identitinya belum didedahkan.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai pertikaian dengan persatuan pemilik kediaman bangunan apartmen berkenaan, namun punca sebenar kejadian belum dikenal pasti.
Kejadian yang berlaku ketika pada waktu pagi itu mencetuskan operasi besar-besaran membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan, termasuk polis.
Sebahagian penduduk dipindahkan dari kawasan kejadian, manakala yang lain diarahkan berlindung di dalam kediaman masing-masing.
Seorang saksi, Michael Carney berkata, beliau sedang menggunakan mesin larian di pusat kecergasan ketika terdengar bunyi letupan kecil sebelum melihat seorang individu terbaring di lantai akibat ditembak.
Menurutnya, orang ramai yang berada di pusat kecergasan itu bertempiaran mencari perlindungan di sebalik pasu tanaman dan objek berhampiran bagi mengelakkan diri daripada terkena tembakan. – AFP