
ENGLAND, 26 Mac – Sebuah anak syarikat Universiti Cambridge, SuperSharp Space Systems berhasrat mengukur suhu planet menggunakan teknologi kamera satelit inframerah bagi menghasilkan peta haba bumi secara lebih terperinci.
- Optik boleh dibuka dan diselaras membolehkan teleskop besar dipasang pada satelit kecil, mengurangkan kos pelancaran dan meningkatkan kekerapan pengimejan.
- Imej inframerah terma mengukur haba, mengesan perubahan masa nyata dan aktiviti, meningkatkan kebolehan risikan serta pemantauan keselamatan.
- Aplikasi termasuk pemantauan iklim, kesihatan tanaman, pulau haba bandar, kecekapan bangunan, pengesanan kebakaran, dan jejak serta kesihatan satelit.
SuperSharp Space Systems menyasarkan untuk mengubah landskap industri pemerhatian bumi dengan menawarkan akses kepada imej terma permukaan terperinci kepada sektor pemantauan iklim, pertanian, maritim dan keselamatan, yang sebelum ini hanya dimiliki satelit pengintip ketenteraan.
“Kami mengambil teknologi yang dibangunkan untuk astronomi dan mengubah pendekatannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu SuperSharp, Elizabeth Seward.
Syarikat berkenaan memaklumkan teknologi menggunakan optik boleh dibuka dan diselaras secara automatik membolehkan teleskop bersaiz besar dimuatkan dalam platform satelit yang lebih kecil.
Pendekatan itu sekali gus berupaya mengurangkan kos pembuatan dan pelancaran serta meningkatkan kekerapan pengimejan. SuperSharp menjelaskan sistem berkenaan direka untuk menyediakan imej terma beresolusi tinggi pada bila-bila masa, siang atau malam.
Menurut Seward, aplikasi keselamatan teknologi itu memberi tumpuan kepada pengesanan aktiviti. Dengan imej inframerah terma, perubahan dari segi masa dapat dikenal pasti melalui satu rakaman, termasuk perubahan suhu permukaan akibat kehadiran atau pergerakan sesuatu objek.
“Kami boleh melihat aktiviti di kawasan yang mungkin tidak dijangka, sekali gus menambah nilai kepada gambaran risikan sesuatu kawasan berkepentingan,” katanya.
Pengimejan inframerah terma mengukur haba berbanding cahaya yang boleh dilihat. SuperSharp menyatakan teknologi itu membolehkan pengguna memetakan corak suhu yang berkait dengan perubahan iklim, penggunaan tenaga, tekanan tanaman serta bencana alam seperti kebakaran hutan.
“Ia membantu sektor pertanian menilai kesihatan tanaman, selain menyokong industri pembinaan mengenal pasti fenomena pulau haba bandar, kecekapan bangunan serta kawasan kehilangan haba akibat penebatan yang lemah,”katanya.
Pada masa sama, SuperSharp turut membangunkan teknologi inframerah terma untuk kesedaran domain angkasa, termasuk menjejak satelit dan serpihan angkasa melalui jejak haba serta memantau tahap kesihatan satelit dari permukaan bumi.
Kini, syarikat itu sedang membangunkan model penerbangan bagi tiga produknya. Casper, yang paling kecil, dijadual dilancarkan pada Februari 2027, diikuti Hibiscus, yang terbesar, pada Januari 2027, manakala Spirit dijangka siap dilancarkan pada 2028 selepas menjalani ujian belon altitud tinggi tahun ini.- REUTERS