Takaichi mahu Jepun lebih makmur dan berdaya saing

Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi / AFP

TOKYO, 20 Februari – Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berikrar untuk terus “menekan butang pertumbuhan” dan menjadikan Jepun sebuah negara yang “kuat dan makmur” susulan kemenangan besar partinya dalam pilihan raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Takaichi berikrar menekan pertumbuhan untuk menjadikan Jepun kuat dan makmur selepas kemenangan pilihan raya.
  • Kerajaan akan rangsang ekonomi tanpa dasar fiskal melulu dan bercadang kurangkan nisbah hutang kepada KDNK.
  • Galakkan pelaburan dalam tenaga, kesihatan, infrastruktur, keselamatan siber, AI, cip semikonduktor dan pembinaan kapal.
  • Semak semula dokumen dasar pertahanan dan pertimbangkan pelonggaran larangan eksport senjata bagi kukuhkan pertahanan.

Dalam ucapan dasar di Parlimen, beliau menegaskan dasar fiskalnya tidak akan bersifat melulu meskipun kerajaan komited merangsang ekonomi dan membantu rakyat berdepan inflasi.

“Kami tidak akan melaksanakan dasar fiskal melulu yang boleh menjejaskan keyakinan pasaran,” katanya sambil berjanji mengurangkan nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Beliau turut berikrar menggalakkan pelaburan domestik dalam bidang strategik seperti tenaga, kesihatan, infrastruktur dan keselamatan siber, selain sektor pertumbuhan termasuk kecerdasan buatan (AI), cip semikonduktor dan pembinaan kapal.

Data kerajaan menunjukkan inflasi teras Jepun meningkat 2.0 peratus pada Januari lepas dan merupakan kadar paling rendah dalam tempoh dua tahun sekaligus memberi sedikit kelegaan kepada pentadbiran beliau.

Takaichi turut mengulangi cadangan mempertimbangkan penggantungan cukai penggunaan ke atas makanan selama dua tahun bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup.

Dalam aspek keselamatan, Takaichi berkata Jepun kini berdepan persekitaran keselamatan paling serius dan kompleks sejak Perang Dunia Kedua, merujuk kepada perkembangan yang dianggap mengancam kestabilan serantau termasuk peningkatan aktiviti ketenteraan China di Laut China Timur dan Laut China Selatan.

Sehubungan itu, beliau berhasrat menyemak semula tiga dokumen utama dasar pertahanan Jepun tahun ini serta mempercepat perbincangan mengenai pelonggaran larangan eksport senjata maut bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara dan sekutunya. – AFP