
- Kerajaan Syria dan pasukan Kurdi setuju melanjutkan gencatan senjata untuk meneruskan rundingan politik mengenai kawasan majoriti Kurdi.
- Lanjutan gencatan diperlukan untuk melengkapkan pemindahan tahanan kumpulan IS dari Syria ke Iraq.
- Gencatan senjata menyokong integrasi pentadbiran autonomi Kurdi ke dalam struktur negara Syria.
DAMSYIK, 24 Januari — Kerajaan Syria dan pasukan Kurdi bersetuju melanjutkan gencatan senjata yang dijadualkan tamat Sabtu ini, sebagai sebahagian daripada rundingan lebih luas mengenai masa depan kawasan majoriti Kurdi di negara itu, menurut beberapa sumber kepada AFP.
Sumber diplomatik di Damsyik berkata sementara usaha mencapai penyelesaian politik bersama diteruskan.
Perkembangan itu susulan persetujuan gencatan senjata selama empat hari yang dicapai Selasa lalu antara Damsyik dan Syrian Democratic Forces (SDF), selepas pasukan Kurdi menyerahkan beberapa kawasan kepada tentera kerajaan yang turut menghantar bala bantuan ke kubu Kurdi di timur laut Syria.
Lanjutan gencatan senjata itu perlu bagi melengkapkan proses pemindahan tahanan kumpulan Daesh dari Syria ke Iraq, yang dijangka mengambil masa beberapa hari.
Washington sebelum ini memaklumkan akan memindahkan kira-kira 7,000 tahanan kumpulan Daesh ke penjara di Iraq, termasuk 150 tahanan kanan yang telah dipindahkan minggu ini.
Gencatan senjata itu merupakan sebahagian daripada persefahaman baharu berkaitan kawasan majoriti Kurdi di wilayah Hasakeh, serta usaha mengintegrasikan pentadbiran autonomi Kurdi ke dalam struktur negara Syria.
Selepas kejatuhan bekas Presiden Bashar al-Assad pada 2024, Presiden baharu Ahmed al-Sharaa kini berusaha memperluas kawalan kerajaan ke seluruh Syria serta menyusun semula hubungan antarabangsa, termasuk dengan Amerika Syarikat. – AFP