Stabilkan pasaran, 400 juta tong rizab minyak disalur

Kesemua 32 negara anggota bersetuju untuk menyalurkan minyak rizab kecemasan/ Foto AFP

PARIS, 11 Mac – Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengumumkan negara anggotanya akan mengeluarkan 400 juta tong minyak daripada simpanan kecemasan bagi menstabilkan pasaran tenaga susulan konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengarah Eksekutif IEA, Fatih Birol, berkata cabaran pasaran minyak kini belum pernah berlaku sebelum ini.
  • Kesemua 32 negara anggota bersetuju sebulat suara menyalurkan rizab kecemasan bagi menangani gangguan bekalan global.
  • Bekalan akan dilepaskan secara berperingkat mengikut keadaan setiap negara, dengan sokongan langkah kecemasan tambahan oleh beberapa negara.
  • Gangguan berlaku selepas konflik antara Israel dan Iran menjejaskan laluan perkapalan penting di Selat Hormuz.

Pengarah Eksekutifnya, Fatih Birol berkata langkah itu merupakan pelepasan terbesar dalam sejarah organisasi berkenaan.

“Cabaran pasaran minyak yang dihadapi kini belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut IEA, kesemua 32 negara anggota dalam mesyuarat tergempar bersetuju sebulat suara untuk menyalurkan minyak daripada rizab kecemasan mereka bagi menangani gangguan bekalan global.

Bekalan tersebut akan dilepaskan ke pasaran secara berperingkat mengikut keadaan setiap negara anggota, selain disokong langkah kecemasan tambahan oleh beberapa negara.

Gangguan pasaran tenaga berlaku selepas konflik melibatkan Israel dan Iran menjejaskan laluan perkapalan penting di Selat Hormuz, yang menjadi laluan utama penghantaran minyak dan gas dunia.

Jumlah pelepasan itu jauh lebih besar berbanding 182 juta tong minyak yang dikeluarkan oleh negara anggota pada 2022 selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

IEA memaklumkan negara anggotanya ketika ini menyimpan lebih 1.2 bilion tong minyak dalam stok rizab, selain kira-kira 600 juta tong lagi dalam simpanan industri bawah mandat kerajaan.