Singapura lapor peningkatan kes campak, tingkatkan langkah pencegahan

Singapura lapor peningkatan kes campak, tingkatkan langkah pencegahan.

SINGAPURA, 6 Februari – Singapura mempertingkatkan langkah pencegahan kesihatan awam bagi membendung penularan dalam komuniti selepas mengesan peningkatan jumlah kes campak di negara itu, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Singapore meningkatkan langkah pencegahan kesihatan awam selepas peningkatan kes campak dalam komuniti.
  • Pengasingan mandatori dan pengesanan kontak dijalankan, termasuk pengawasan panggilan video untuk pematuhan.
  • Kebanyakan kes melibatkan individu tidak divaksin lengkap; tiga bayi bawah 12 bulan terjejas.
  • Peningkatan mencerminkan trend global; risiko import dan penularan tempatan tidak dikesan wujud.

Langkah tersebut merangkumi pengasingan mandatori bagi kes yang disahkan serta pengesanan kontak untuk semua kes jangkitan.

“Kes yang tidak dimasukkan ke hospital akan diletakkan di bawah pengasingan di rumah, dan pemeriksaan panggilan video secara rawak akan dijalankan sepanjang tempoh pengasingan mereka bagi memastikan pematuhan.

“Individu yang gagal mematuhi sebarang arahan pengasingan di rumah atau kuarantin yang dikeluarkan di bawah Akta Penyakit Berjangkit boleh didapati bersalah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dan/atau denda,” menurut CDA dalam kenyataan pada Jumaat.

Agensi itu menyatakan negara itu merekodkan 11 kes campak pada Januari 2026, berbanding dua kes pada Januari 2025.

Kesemua 11 kes melibatkan individu yang tidak menerima vaksinasi lengkap, termasuk tiga bayi berusia bawah 12 bulan yang belum layak menerima vaksinasi campak, beguk dan rubella (MMR).

Antara kes tersebut, seorang merupakan pelancong manakala selebihnya menetap di Singapura. Tujuh kes mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara baru-baru ini.

Tiga daripada kes tersebut kemudiannya disahkan melalui ujian makmal mempunyai kaitan genetik, walaupun mereka tidak mempunyai sebarang kontak yang diketahui antara satu sama lain.

“Ini menunjukkan kemungkinan wujudnya penularan tempatan yang tidak dikesan dalam komuniti. Siasatan epidemiologi masih dijalankan,” katanya.

Menurut CDA, walaupun Singapura mencapai status penghapusan campak pada 2018, risiko kes import tetap ada.

CDA mengambil maklum bahawa peningkatan kes di Singapura mencerminkan trend di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 11 juta jangkitan campak secara global pada 2024 – jumlah yang melebihi tahap prapandemik sebanyak 800,000 kes.

Setakat November 2025, WHO melaporkan 42,000 kes yang disahkan di wilayah Pasifik Barat (Asia Timur, Australia, New Zealand, dan sebahagian besar Asia Tenggara) berbanding 8,000 kes pada 2024, yang mewakili peningkatan lima kali ganda.

Rantau Amerika dan Eropah juga menyaksikan wabak campak pada 2025. Sekurang-kurangnya tujuh negara, termasuk Kanada dan United Kingdom, tidak lagi dikategorikan sebagai negara bebas campak kerana penyakit itu kembali menular dalam komuniti secara berterusan.- BERNAMA