Setiausaha Tenaga AS lawat fasiliti minyak Petro Independencia di Venezuela

Foto REUTERS

MONAGAS, 13 Februari– Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat (AS), Chris Wright mengadakan lawatan ke fasiliti pengeluaran minyak di Petro Independecia, sebuah perusahaan hasil kerjasama Chevron dan syarikat minyak negara Venezuela, PDVSA di Faja Petrolífera del Orinoco pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright, melawat fasiliti pengeluaran minyak Petro Independencia di Faja del Orinoco.
  • Lawatan bertujuan memperkukuh agenda kerjasama tenaga dua hala antara AS dan Venezuela.
  • Perbincangan merangkumi petroleum, gas, tenaga elektrik dan mineral serta kerjasama strategik.
  • Lawatan mencerminkan pemulihan hubungan AS-Venezuela dan kembalinya syarikat Amerika seperti Chevron.

Lawatan itu diadakan dalam rangka lawatan rasmi Wright ke Venezuela bagi memperkukuh agenda kerjasama tenaga dua hala.

Wright tiba di Caracas pada Rabu untuk mengadakan rundingan dengan pemimpin Venezuela dan telah mengadakan perbincangan bersama Rodríguez di Istana Miraflores mengenai kerjasama tenaga strategik antara kedua-dua negara.

Perbincangan itu merangkumi isu berkaitan petroleum, gas, tenaga elektrik dan mineral.

Lawatan ke Petro Independencia tersebut memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk meninjau operasi di tapak yang merupakan sebahagian daripada Faja Petrolífera del Orinoco, zon kaya dengan rizab minyak terbesar di dunia.

Faja Petrolífera del Orinoco merangkumi lebih 55,000 kilometer persegi dan mengandungi sekitar 87 peratus daripada rizab minyak Venezuela, menjadikannya aset strategik bagi usaha pemulihan industri tenaga negara berkenaan.

Usaha itu susulan perubahan besar dasar tenaga Venezuela yang kini membuka sektor minyak kepada pelaburan asing serta pemodenan infrastruktur, bagi merancakkan semula pengeluaran yang merosot.

Lawatan Wright ke Venezuela merupakan kunjungan tertinggi pegawai tenaga AS setelah lebih dua dekad, sekali gus mencerminkan usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor tenaga.

Pertemuan tersebut berlaku dalam konteks hubungan AS-Venezuela yang semakin pulih, termasuk pelonggaran sekatan yang membolehkan syarikat Amerika, khususnya Chevron, kembali aktif dalam industri minyak negara itu. -REUTERS