Serangan Zionis di Lubnan ragut 20 nyawa

Foto AFP

BEIRUT, 11 Mac – Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh manakala 26 lagi cedera dalam beberapa siri serangan udara oleh Zionis Israel di seluruh Lubnan sejak awal pagi Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan terhadap sebuah apartmen di Aicha Bakkar; jumlah korban masih belum dapat dipastikan.
  • Di selatan Lubnan, serangan di Hanouiyeh bunuh tiga termasuk seorang paramedik; Al-Housh: satu terbunuh, lapan cedera.
  • Sejak 2 Mac, lebih 570 terbunuh dan ribuan kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran rentas sempadan antara Zionis Israel dan Hezbollah.

Media rasmi tempatan melaporkan, pesawat Israel turut menyerang sebuah apartmen kediaman di kawasan Aicha Bakkar di sini, namun jumlah korban bagi serangan itu masih belum dapat dipastikan.

Di selatan Lubnan, tiga orang termasuk seorang anggota paramedik terbunuh dalam serangan di bandar Hanouiyeh di daerah Tyre, manakala seorang terbunuh dan lapan cedera dalam pengeboman di Al-Housh.

Serangan lain di Zellaya dekat wilayah Bekaa mengorbankan seorang mangsa dan mencederakan dua lagi.

Di bandar Qana, lima orang maut dan lima lagi cedera dalam beberapa serangan udara bertubi-tubi.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan empat orang lagi cedera dalam serangan udara Israel di bandar Tebnine dekat daerah Bint Jbeil.

Menurut laporan, lebih 570 orang terbunuh dan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal di Lubnan sejak 2 Mac susulan pertempuran rentas sempadan antara Israel dan Hezbollah. – Reuters