
GAZA, 11 April – Sekurang-kurangnya enam terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah balai polis di kem pelarian Bureij di tengah Gaza.
- Serangan dilancarkan oleh pesawat tempur rejim Zionis, menurut laporan media tempatan.
- Serangan itu jelas melanggar gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa di wilayah berkenaan.
- Pihak berkuasa kesihatan laporkan lebih 700 Palestin terbunuh sejak gencatan senjata; konflik Gaza meragut lebih 71,000 nyawa.
Media tempatan melaporkan serangan itu dilancarkan oleh pesawat tempur rejim Zionis.
Serangan itu jelas sebagai satu lagi pelanggaran terhadap gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa di wilayah berkenaan.
Suasana pilu menyelubungi Hospital Syahid Al-Aqsa apabila ahli keluarga mangsa dan penduduk berhimpun bagi memberi penghormatan terakhir kepada mereka yang terkorban.
Agensi berita Palestin, WAFA melaporkan serangan turut melibatkan kawasan Khan Younis, dengan jumlah korban dan kecederaan meningkat susulan serangan dron di beberapa lokasi.
Tentera Israel seperti kelaziman memberi alasan tidak masuk akal, termasuk mendakwa serangan itu menyasarkan kumpulan bersenjata Hamas yang didakwa merancang serangan terhadap tenteranya.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober lalu, lebih 700 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, manakala konflik berpanjangan di Gaza setakat ini meragut lebih 71,000 nyawa, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. – REUTERS