
WASHINGTON, 5 Mac – Satu tamparan hebat kepada usaha perdamaian global apabila Senat Amerika Syarikat (AS) secara rasmi menolak usaha untuk menyekat kuasa mutlak Presiden Donald Trump daripada terus membedil bumi Iran tanpa kebenaran Kongres.
- Senat AS menolak usaha menyekat kuasa Presiden Trump untuk melancarkan serangan ke atas Iran, memberi kelulusan praktikal kepada tindakan ketenteraan.
- Resolusi Kuasa Perang dipimpin Demokrat bertujuan mengakhiri penglibatan AS tetapi dikalahkan majoriti Republikan dalam undian 47-53.
- Keputusan itu disokong pembelaan Republikan bahawa Presiden mempunyai kuasa untuk meneruskan serangan udara ke atas Iran.
Keputusan undian 47-53 itu bukan sekadar angka di atas kertas, ia adalah ‘lampu hijau’ bagi pentadbiran Trump dan sekutu kuatnya, Israel untuk meneruskan kempen ketenteraan yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,000 nyawa, termasuk ratusan kanak-kanak sekolah.
Resolusi Kuasa Perang Iran yang dipelopori oleh senator Demokrat Tim Kaine, Adam Schiff, dan Chuck Schumer bertujuan menuntut penamatan serta-merta penyertaan AS dalam konflik berdarah itu.
Namun, majoriti ahli Republikan mengundi menentang langkah itu, sekaligus menyekat percubaan pertama Senat untuk mengehadkan serangan udara Trump terhadap Iran.
“Kita tidak sepatutnya mengheret negara ke kancah peperangan tanpa perdebatan dan undian yang sah,” tegas Senator Tim Kaine sebelum pengundian dijalankan.
Beliau merujuk kepada tindakan Trump yang membelakangkan suara rakyat demi kepentingan geopolitik yang ekstrem.
Pemimpin Republikan mempertahankan tindakan Trump dengan menyatakan beliau mempunyai kuasa untuk menjalankan serangan udara yang berterusan ke atas Iran.-BERNAMA