
BEIRUT, 18 Mac – Sekurang-kurangnya enam orang terkorban selepas Israel melancarkan serangan mengejut ke tengah Beirut, ketika tentera Israel mengumumkan ia menyasarkan wilayah selatan negara itu.
- Kementerian Kesihatan berkata mayat di lokasi perlu ujian DNA untuk mengenal pasti identiti mangsa.
- Agensi Berita Nasional melaporkan serangan membedil sebuah apartmen di Zuqaq al-Blat, berhampiran ibu pejabat kerajaan dan kedutaan.
- Serangan lain menyasarkan dua apartmen di Basta Tengah dan berlaku berhampiran cawangan Al-Qard Al-Hassan yang dikaitkan dengan Hizbullah.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan bahawa jumlah awal korban bagi kedua-dua serangan ialah enam orang, manakala 24 lagi cedera.
Menurut kementerian itu, mayat di lokasi kejadian perlu menjalani ujian DNA bagi mengenal pasti identiti mangsa.
Sementara itu, Agensi Berita Nasional rasmi Lebanon (NNA) melaporkan, serangan pada awal pagi Rabu membedil sebuah apartmen di kawasan Zuqaq al-Blat, kawasan padat penduduk yang terletak berhampiran ibu pejabat kerajaan dan beberapa kedutaan.
Serangan itu berlaku berhampiran lokasi cawangan firma kewangan Al-Qard Al-Hassan yang dikaitkan dengan Hizbullah minggu lalu. Manakala serangan lain menyasarkan dua apartmen di daerah Basta tengah, satu lagi kawasan padat penduduk yang pernah diserang Israel pada 2024.
Lubnan terjerumus ke dalam konflik Asia Barat selepas Hizbullah yang disokong Iran, melancarkan roket ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel yang membunuh pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.-AFP