
ACEH, 20 Februari – Kekangan mendapatkan bekalan air bersih sejak empat hari lalu memaksa warga Geudumbak, Aceh Utara menggunakan sumber semulajadi termasuk air sungai untuk kegunaan harian.
- Penerimaan dua lori tangki air bersih 10,000 liter menyelesaikan krisis bekalan air di Kampung Geudumbak.
- Sumbangan diagihkan kepada kira-kira seribu penduduk, memberi kelegaan pada permulaan Ramadan.
- Pek kebersihan diri diedarkan kepada keluarga dengan anak kecil selepas kemusnahan banjir November lalu.
Bagaimanapun, penderitaan itu berakhir dengan kemasukan dua buah lori tangki air bersih berisipadu 10 ribu liter sumbangan Econsave Cash and Carry serta Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), sekaligus memberi sinar kepada penduduk pada hari pertama Ramadan kali ini.
Menurut Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam, jumlah bekalan air bersih itu dijangka dapat dimanfaatkan kira-kira seribu penduduk di kampung berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pengagihan sumbangan tersebut di Kampung Geudumbak, Aceh Utara.
Selain itu, prihatin dengan nasib penduduk yang terdedah dengan persekitaran berlumpur serta kesan banjir besar pada November tahun lalu yang masih berbaki di sekitar kampung berkenaan sumbangan pek kebersihan diri kepada keluarga yang mempunyai anak kecil turut diagihkan.
Sumbangan berkenaan dilaksanakan menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Aceh 2.0 dengan lokasi agihan bantuan meliputi kawasan yang paling teruk terjejas iaitu Kampung Geudumbak, Mukim Langkahan, Aceh Utara dan Aceh Temiang.