
NEW YORK, 24 Jun – Kejatuhan mendadak saham teknologi gergasi telah mengheret turun pasaran global pada Selasa.
- Kebimbangan penilaian tinggi dan perbelanjaan berlebihan dalam AI memicu pembetulan pasaran, dianggap lebih teknikal daripada perubahan fundamental.
- Kejatuhan saham semikonduktor menjatuhkan indeks teknologi seperti Nasdaq; penjualan besar SK Hynix dan Samsung menambah tekanan di Kospi.
- Harga minyak mentah turun selepas pembukaan semula Selat Hormuz dan penggantungan sementara sekatan AS, menaikkan jangkaan bekalan tambahan.
Bursa Wall Street sekali lagi mengalami kemerosotan berikutan kebimbangan pelabur terhadap penilaian harga saham yang terlalu tinggi serta kegusaran berterusan mengenai perbelanjaan besar-besaran dalam sektor kepintaran buatan (AI).
Laluan sukar yang bermula di pasaran Amerika Syarikat (AS) pada Isnin lalu turut memberi kesan mendalam di Asia, menyaksikan indeks Kospi Korea Selatan jatuh 10 peratus akibat penjualan besar-besaran saham SK Hynix dan Samsung.
Sementara itu, indeks Nasdaq yang sarat dengan saham teknologi merosot lebih dua peratus, dipengaruhi kejatuhan besar saham semikonduktor dengan Micron Technology dan Sandisk masing-masing menjunam melebihi 13 peratus.
Bagaimanapun, penganalisis pasaran melihat pembetulan pasaran ini lebih bersifat teknikal berbanding perubahan fundamental terhadap teknologi AI itu sendiri.
“Terdapat kebimbangan mengenai penilaian sentimen dan kedudukan pasaran, berbanding peralihan ketara dalam kisah fundamental AI. Pasaran sememangnya gemar mengambil langkah dua tapak ke hadapan, satu tapak ke belakang dan sekarang kita berada dalam fasa melangkah ke belakang,” kata Angelo Kourkafas daripada Edward Jones.
Dalam sesi awal dagangan, saham SpaceX dilaporkan menyusut di bawah AS$150—iaitu paras harga permulaan ketika ia mula didagangkan di Nasdaq pada 12 Jun lalu.
Bagaimanapun, saham syarikat itu kembali melantun dan ditutup pada paras AS$156.11, meningkat 1.0 peratus.
Meskipun menunjukkan pemulihan, pengumuman tawaran bon oleh syarikat roket dan pengendali satelit milik Elon Musk tetap menambah keresahan dalam kalangan pelabur.
“Tindakan SpaceX yang menyertai pasaran bon bagi membiayai perbelanjaan infrastruktur dan AI yang keterlaluan telah menghidupkan semula kebimbangan awal bahawa syarikat gergasi teknologi mungkin berbelanja terlalu besar untuk infrastruktur AI dan semakin banyak membiayai perbelanjaan tersebut melalui instrumen hutang,” jelas Ipek Ozkardeskaya, penganalisis kanan di bank Swissquote.
Kejatuhan ini turut dirasai secara meluas di beberapa pasaran utama dunia termasuk Nikkei (33.6 peratus) yang menyaksikan penurunan mendadak.
Di pasaran komoditi, harga minyak mentah dunia terus mencatatkan penurunan berikutan peningkatan jangkaan terhadap pertambahan bekalan.
Faktor utama penurunan ini adalah pembukaan semula laluan maritim di Selat Hormuz selepas perjanjian AS-Iran dicapai untuk menamatkan perang di Asia Barat.
Selain itu, penggantungan sementara sekatan AS terhadap Iran sepanjang tempoh rundingan turut meningkatkan harapan pasaran bahawa lebih banyak bekalan minyak mentah akan memasuki pasaran global dalam masa terdekat.- AFP