
MOSCOW, 10 Februari – Rusia mendakwa melancarkan serangan ke atas fasiliti ketenteraan Ukraine, manakala Ukraine pula melaporkan berjaya memintas sejumlah besar dron Rusia dalam tempoh 24 jam lalu.
- Rusia dakwa serang fasiliti ketenteraan Ukraine termasuk lapangan terbang, tenaga, pengangkutan dan penempatan tentera.
- Ukraine lapor memintas puluhan hingga ratusan dron Rusia dalam tempoh 24 jam, sambil berdepan pertempuran di Pokrovsk.
- FSB tuduh Ukraine dan Poland cuba bunuh timbalan ketua perisikan Rusia; Ukraine nafi penglibatan.
Kementerian Pertahanan Rusia pada Isnin memaklumkan tenteranya telah menyerang infrastruktur lapangan terbang tentera Ukraine, selain kemudahan tenaga dan pengangkutan, serta lokasi penempatan sementara tentera Ukraine dan tentera upahan asing.
Menurut kementerian itu, sistem pertahanan udara Russia turut memintas tiga bom berpandu dan 72 dron sayap tetap yang dilancarkan oleh Ukraine.
Sementara itu, Markas Besar Angkatan Tentera Ukraine melaporkan setakat petang Isnin, sebanyak 74 pertempuran berlaku di sepanjang garis hadapan, dengan pertempuran paling sengit tertumpu di kawasan Pokrovsk.
Tentera Udara Ukraine pula memaklumkan berjaya menembak jatuh atau memintas sebanyak 116 dron Russia antara jam 5.30 petang Ahad hingga 9.30 pagi Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov, menegaskan Rusia tidak akan membenarkan penempatan sebarang senjata di wilayah Ukraine yang boleh mengancam kepentingan keselamatan negaranya.
Beliau berkata, Rusia perlu memastikan keselamatannya dalam situasi di mana beberapa negara Eropah didakwa mengancam untuk berperang dengan Moscow.
Dalam isu keselamatan dalaman, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) mendakwa Ukraine dan Poland terlibat dalam cubaan membunuh Leftenan Jeneral Vladimir Alekseyev, timbalan ketua perisikan tentera Rusia, yang ditembak beberapa kali dalam sebuah bangunan kediaman di barat laut Moscow pada Jumaat lalu.
Jurucakap Jawatankuasa Penyiasatan Russia, Svetlana Petrenko, sebelum ini memaklumkan dua suspek yang ditahan iaitu Lyubomir Korba dan Viktor Vasin mengaku terlibat dalam serangan berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha, pada Jumaat menegaskan kerajaan Ukraine tidak terlibat dalam insiden tersebut.-REUTERS