
RUSIA, 23 Jun – Rusia mendakwa telah menembak jatuh lebih 300 dron milik Ukraine dalam tempoh semalaman, ketika Kiev melancarkan serangan jarak jauh berskala besar yang menyasarkan pusat komunikasi angkasa lepas Moscow dan kilang pembuatan komponen peluru berpandu.
- Tentera Rusia terus menyerang kilang penapisan minyak, infrastruktur tenaga dan pengangkutan serta kemudahan pengeluaran dan penyimpanan dron jarak jauh.
- Di wilayah Donetsk, tentera Rusia dilaporkan mara dan berjaya menguasai beberapa bangunan di kawasan Lyman dan Kostiantynivka.
- Kiev mendakwa memusnahkan kemudahan di Pelabuhan Kavkaz, dua feri tentera, kilang elektronik Iskander dan menuduh Moscow tingkatkan ancaman keselamatan maritim.
Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan pada Isnin mengesahkan sistem pertahanan udaranya berjaya memusnahkan 301 dron milik Ukraine di ruang udaranya, termasuk 84 unit yang dikesan berhampiran ibu kota Moscow.
“Pasukan tentera Rusia meneruskan serangan di beberapa barisan hadapan dengan menyasarkan kilang penapisan minyak Ukraine, infrastruktur tenaga dan pengangkutan, selain kemudahan pengeluaran serta penyimpanan dron jarak jauh,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu di wilayah Donetsk, tentera Rusia dilaporkan terus mara dan berjaya menguasai beberapa bangunan di kawasan Lyman dan Kostiantynivka.
Gabenor Wilayah Voronezh, Alexander Gusev menerusi perkongsian di media sosial memaklumkan serangan peluru berpandu oleh tentera Ukraine di wilayah tersebut telah mengorbankan lima orang awam serta merosakkan fasiliti pengeluaran tempatan dan 10 bangunan kediaman.
Bagi pihak Ukraine, Staf Am Angkatan Tentera Ukraine mengesahkan serangan ke atas pusat komunikasi Dubna, selain mendakwa berjaya memusnahkan kemudahan di Pelabuhan Kavkaz, dua feri pengangkutan tentera, sebuah kilang elektronik peluru berpandu Iskander di Voronezh, serta sebuah pusat latihan pengendali dron.
Kiev dalam masa sama turut menuduh Moscow meningkatkan ancaman terhadap keselamatan maritim global selepas serangan dron Rusia dilaporkan mengenai tiga buah kapal dagang awam berbendera asing di Laut Hitam, yang mengakibatkan seorang anak kapal warga Mesir terkorban di atas kapal pengangkut pukal berbendera Panama. -REUTERS