
ABU DHABI, 6 Februari – Rusia dan Amerika Syarikat (AS) menyatakan persetujuan untuk menyambung semula hubungan ketenteraan peringkat tinggi, satu langkah penting dalam usaha memulihkan hubungan antara dua kuasa nuklear terbesar dunia itu.
- AS dan Rusia bersetuju menyambung semula dialog ketenteraan peringkat tinggi untuk memulihkan hubungan keselamatan.
- Perjanjian dicapai selepas rundingan tiga hala antara delegasi AS, Rusia dan Ukraine di Abu Dhabi.
- Dialog tentera dianggap penting untuk ketelusan, pengurangan ketegangan dan kestabilan serta keamanan global.
- Isu wilayah terus buntu; Rusia tuntut pengunduran sebahagian Donbas, manakala Kyiv menolak pengunduran tentera.
Persetujuan tersebut dicakap dalam rundingan mengenai Ukraine di Ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu pada Khamis.
Moscow dan Washington menggantung dialog ketenteraan peringkat tinggi sejurus selepas Rusia menceroboh Ukraine pada 2022 dengan Presiden AS ketika itu, Joe Biden memutuskan hampir semua hubungan dengan Rusia.
Namun Presiden Donald Trump memulihkan semula komunikasi sejak kembali ke White House tahun lalu, termasuk beberapa perbincangan dan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Perjanjian itu dicapai selepas dua hari rundingan antara delegasi AS, Rusia dan Ukraine bagi mencari penyelesaian untuk menamatkan perang di Ukraine.
Rundingan turut menyaksikan pertukaran banduan pertama dalam tempoh empat bulan, namun Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menyifatkan perbincangan itu sukar dan menggesa kemajuan lebih pantas.
Menurut kenyataan Markas Pemerintahan Tentera Eropah-AS, dialog tentera adalah faktor penting bagi kestabilan dan keamanan global, membolehkan ketelusan dan pengurangan ketegangan, pada masa sama usaha diplomatik masih diteruskan untuk mencapai perdamaian jangka panjang.
“AS dan Rusia bersetuju hari ini di Abu Dhabi untuk mengembalikan semula dialog ketenteraan peringkat tinggi,” katanya sambil menambah bahawa semua pihak sedang berusaha untuk memastikan keamanan yang berkekalan.
“Mengekalkan dialog antara tentera merupakan faktor penting dalam memastikan kestabilan dan keamanan global, yang hanya boleh dicapai melalui kekuatan dan menyediakan kaedah untuk meningkatkan ketelusan serta mengurangkan ketegangan,” tambahnya.
Bagaimanapun, isu wilayah kekal menemui jalan buntu.
Rusia menuntut anggota tentera Ukraine berundur daripada sebahagian Donbas dan pengiktirafan antarabangsa terhadap kawasan yang dikuasai.
Manakala Kyiv menolak pengunduran tentera.
Zelensky turut mendedahkan sekurang-kurangnya 55,000 tenteranya terbunuh sejak pencerobohan Februari 2022, manakala Rusia belum mendedahkan jumlah kematian tentera mereka.
Rusia kini menduduki kira-kira 20 peratus wilayah Ukraine, termasuk Donetsk, Lugansk, Kherson dan Zaporizhzhia, sementara Ukraine masih mengawal sebahagian Donetsk.
Sementara rundingan berlangsung, ibu negara Ukraine masih bergelut dengan suhu sejuk selepas serangan Rusia melumpuhkan bekalan tenaga, dengan lebih 1,000 kediaman terjejas selama dua bulan.- AFP