Rundingan nuklear : Iran sedia berkompromi elak serangan AS

FOTO REUTERS

TEHRAN, 23 Februari – Iran bersedia berkompromi dalam rundingan nuklearnya dengan Amerika Syarikat sebagai usaha mengelakkan kemungkinan serangan ketenteraan, menurut seorang pegawai kanan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran sedia berkompromi termasuk hantar separuh stok uranium diperkaya ke luar negara untuk elak serangan tentera AS.
  • Tehran minta pengiktirafan hak pengayaan aman dan pemansuhan sekatan sebagai balasan pembekalan dan pemantauan luas IAEA.
  • Perbincangan masih berbeza tentang skop pelonggaran sekatan, tetapi peluang penyelesaian diplomatik dan perjanjian sementara wujud.

Menurut sumber itu, Iran bersedia menghantar separuh daripada simpanan uranium diperkaya tahap tinggi ke luar negara, selain mencairkan baki simpanan serta menyertai konsortium pengayaan uranium serantau.

Sebagai balasan, Tehran menuntut pengiktirafan hak untuk pengayaan uranium secara aman dan pemansuhan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat (AS).

Meskipun terdapat kemajuan dalam rundingan, kedua-dua pihak masih berbeza pandangan mengenai skop dan jadual pelonggaran sekatan.

Washington melihat pengayaan uranium di Iran sebagai potensi besar kepada pembangunan senjata nuklear, dakwaan yang dinafikan Tehran.

Presiden Donald Trump dilaporkan sedang mempertimbangkan pilihan serangan ketenteraan terhad sekiranya rundingan gagal, ketika Amerika memperkukuh kehadiran tenteranya di Asia Barat.

Iran pula memberi amaran akan menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau itu sekiranya diserang.

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, dijangka bertemu utusan khas AS, Steve Witkoff, di Geneva minggu ini dan menyatakan masih terdapat “peluang untuk penyelesaian diplomatik.

Pegawai Iran turut menyatakan kemungkinan perjanjian sementara dapat dicapai jika kedua-dua pihak bersetuju dengan pelan hala tuju yang munasabah dan berasaskan kepentingan bersama.

Amerika menuntut Iran menyerahkan stok uranium diperkaya tahap tinggi (HEU).

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebelum ini menganggarkan Iran memiliki lebih 440 kilogram uranium diperkaya sehingga 60 peratus iaitu hampir kepada tahap gred senjata.

Penasihat kanan Iran, Ali Larijani, berkata Tehran bersedia membenarkan pemantauan meluas IAEA bagi membuktikan ia tidak membangunkan senjata nuklear.

Namun, Iran tetap menolak tuntutan “pengayaan sifar” dan enggan membincangkan sekatan terhadap peluru berpandu balistik jarak jauhnya.

Sementara itu, Iran turut membuka peluang kepada syarikat Amerika untuk terlibat sebagai kontraktor dalam industri minyak dan gas negara itu.

Namun menegaskan kawalan ke atas sumber asli tidak akan diserahkan.

Rundingan yang sedang berlangsung kini dilihat sebagai usaha penting untuk meredakan ketegangan yang semakin meningkat dan mengelakkan konflik terbuka antara kedua-dua negara. – REUTERS