
BENGHAZI, 21 Januari– Ribut debu tebal melanda Libya pada Selasa, mengurangkan jarak penglihatan serta memaksa penggantungan sementara penerbangan di dua lapangan terbang antarabangsa.
- Ribut debu tebal melanda Libya, mengurangkan jarak penglihatan di beberapa kawasan.
- Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Mitiga dan Benina digantung sementara.
- Benghazi antara kawasan paling teruk terjejas dengan jerebu jingga tebal.
Bandar Benghazi di timur negara itu, yang merupakan bandar kedua terbesar Libya, dilaporkan antara kawasan paling teruk terjejas apabila diselubungi jerebu berwarna jingga yang tebal akibat ribut berkenaan.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi, operasi penerbangan di Lapangan Terbang Mitiga di Tripoli serta Lapangan Terbang Benina di Benghazi digantung sementara waktu susulan keadaan cuaca buruk.
Sebelum ini, Libya pernah berdepan bencana alam besar apabila ribuan nyawa terkorban manakala ribuan lagi dilaporkan hilang di bandar pesisir timur Derna pada 2023, selepas banjir besar akibat ribut kuat dari Laut Mediterranean.
Musibah itu turut memecahkan empangan, menghanyutkan bangunan dan memusnahkan hampir suku kawasan bandar berkenaan. -REUTERS