Ribuan rakyat Venezuela berhimpun tuntut pembebasan Presiden Maduro

Foto REUTERS

CARACAS, 13 Februari– Ribuan rakyat Venezuela berhimpun di ibu negara pada Khamis sempena sambutan Hari Belia Kebangsaan, dengan perhimpunan itu turut dijadikan platform mendesak pembebasan Presiden Nicolas Maduro susulan operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribuan rakyat berhimpun di Caracas sempena Hari Belia Kebangsaan menuntut pembebasan Presiden Maduro.
  • Perhimpunan mengecam operasi ketenteraan Amerika Syarikat yang menahan Maduro dan isterinya di New York.
  • Kementerian Dalam Negeri melaporkan sekurang-kurangnya 100 terbunuh dan puluhan cedera dalam serangan itu.
  • Peserta mengecam campur tangan asing, dakwa tujuan serangan untuk kawal sumber minyak dan bantah sekatan terhadap Cuba.

Tentera AS dilaporkan melancarkan beberapa siri serangan di Caracas dan lokasi lain pada awal pagi 3 Januari sebelum menahan Maduro serta isterinya, Cilia Flores dan membawa mereka ke New York untuk ditahan pihak berkuasa negara itu.

Kementerian Dalam Negeri Venezuela memaklumkan sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam serangan tersebut, yang mencetuskan kebimbangan dalam komuniti antarabangsa mengenai implikasi terhadap kestabilan serantau.

Lebih 20,000 peserta menyertai perarakan itu dengan kebanyakan mereka mengecam tindakan AS dan menyifatkannya sebagai pencerobohan kedaulatan negara serta campur tangan asing yang tidak boleh diterima.

Seorang penunjuk perasaan, Sol Cabrera menegaskan tiada kuasa luar berhak menculik pemimpin negara lain, manakala Humberto Berrocal mendakwa tindakan itu bertujuan menguasai sumber minyak dan kekayaan semula jadi Venezuela.

Dalam masa sama, peserta turut menyuarakan bantahan terhadap sekatan ekonomi berpanjangan AS ke atas Cuba, termasuk ancaman tarif terhadap negara yang menjual minyak kepada negara kepulauan itu.

Serangan tersebut turut dilaporkan mengorbankan 32 anggota tentera Cuba yang berada di Venezuela bagi melaksanakan misi rasmi, sekali gus menambah ketegangan diplomatik di rantau Amerika Latin. -REUTERS