Qatar pintas 65 peluru berpandu Iran, tiada korban dilaporkan

Leftenan Kolonel Staf Nasser Mohammed Al Kubaisi / REUTERS

DOHA, 28 Februari – Kementerian Pertahanan Qatar memaklumkan pihaknya berjaya memintas beberapa gelombang serangan melibatkan 65 peluru berpandu balistik dan 12 dron yang dilancarkan Iran ke arah sasaran di negara itu, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem pertahanan Qatar memintas gelombang peluru berpandu dan dron dari Republik Islam Iran.
  • Dua peluru berpandu dan sebuah dron menerobos ke Al Udeid serta mengenai radar amaran awal.
  • Kementerian Luar Qatar menegaskan hak untuk tindakan balas menurut undang-undang antarabangsa.
  • Lapan cedera dilaporkan dan pihak berkuasa menerima 114 laporan serpihan letupan.

Pemangku Pengarah Direktorat Bimbingan Moral Kementerian Pertahanan Qatar, Leftenan Kolonel Staf Nasser Mohammed Al Kubaisi, berkata sistem pertahanan negara mengesan serangan tersebut yang dilancarkan secara berturut-turut dari Republik Islam Iran.

“Kementerian Pertahanan Qatar mengumumkan kejayaan memintas beberapa gelombang peluru berpandu dan dron yang menyasarkan beberapa kawasan dalam negara. Angkatan Tentera mengesan 65 peluru berpandu balistik dan 12 dron dilancarkan dalam serangan berperingkat,” katanya dalam satu taklimat media.

Beliau bagaimanapun memaklumkan dua peluru berpandu balistik berjaya sampai ke Pangkalan Udara Al Udeid manakala sebuah dron mengenai radar amaran awal, namun tiada kematian dilaporkan.

Kementerian Luar Qatar menegaskan negara itu berhak mengambil tindakan balas selaras undang-undang antarabangsa, sementara Kementerian Dalam Negeri memaklumkan pihak berkuasa menerima 114 laporan berkaitan serpihan letupan.

Seramai lapan individu dilaporkan cedera akibat insiden berkenaan, termasuk seorang yang mengalami kecederaan serius.

Terdahulu, Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran yang menyasarkan kepimpinan negara itu, sekali gus mencetuskan konflik baharu di Asia Barat. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata tindakan itu bertujuan menamatkan ancaman keselamatan terhadap negaranya serta memberi peluang kepada rakyat Iran untuk menukar kepimpinan mereka.

Serangan berkenaan meningkatkan kebimbangan negara pengeluar minyak di Teluk Arab terhadap kemungkinan konflik lebih besar di rantau itu, manakala Tehran dilaporkan turut melancarkan peluru berpandu ke arah Israel sebagai tindak balas.-REUTERS