
ICHIKAWA, 20 Februari- Punch-kun, anak monyet yang ditolak oleh ibunya sejurus dilahirkan, kini mula diterima oleh kumpulan monyet lain selepas turut diabaikan oleh kumpulan asalnya.
- Punch, bayi monyet tujuh bulan yang ditolak ibu, akhirnya diterima oleh seekor monyet sejenis pada 16 Februari.
- Penerimaan itu memberikan Punch keyakinan untuk berinteraksi dengan kumpulan, walau masih bergantung pada 'ibu tumpang'.
- Rakaman terbaru menunjukkan Punch masih diganggu oleh monyet lain, dan dia berlari memeluk patung orang utan mencari perlindungan.
Sebelum ini, kisah kesepiannya Punch, 7 bulan, menjadikan anak patung orang utan sebagai ‘ibu tumpang’ mendapat perhatian ramai.
“Ibunya keletihan selepas melahirkan Punch pada 27 Julai lepas dan tidak menunjukkan tanda mahu menjaga bayinya itu.
“Disebabkan itu, kami mula merawat dan memberinya mainan orang utan sebagai pengganti ibunya buat sementara waktu,” jelas penjaga zoo, Kosuke Shikano.
Kitaran kesepian itu berakhir pada 16 Februari lepas apabila seekor monyet sejenis mula mendekati Punch.
Dalam momen yang dirakam oleh kakitangan zoo, monyet lebih tua itu memeluk Punch, menandakan penerimaan sosial yang jarang berlaku bagi bayi yang ditolak di alam liar.
Ia turut merakamkan Punch berinteraksi dan bergurau bersama spesis sebayanya.
Pihak zoo memaklumkan, penerimaan itu memberikan Punch keyakinan untuk berinteraksi dengan kumpulan monyet secara lebih normal, walaupun pada sesetengah situasi dia masih bergantung pada ‘ibu tumpangnya’.
Tambah pihak itu, kakitangan zoo akan terus memantau perkembangan Punch bagi memastikan kesejahteraannya.

Bagaimanapun, satu rakaman terbaharu pada Khamis kembali meruntun perasaan ramai apabila memaparkan Punch masih diganggu monyet lain.
Video diambil oleh pengguna TikTok @tate_punch menunjukkan Punch diserang dan dilempar oleh monyet lebih besar sebelum dia berlari dan memeluk ‘ibu tumpangnya’ seakan meminta perlindungan.
Tidak dapat dipastikan sama ada monyet berkenaan daripada kumpulan asalnya atau kumpulan lain. -Reuters