Punch beri reaksi positif, mula bergaul

Punch di Zoo Ichikawa/ REUTERS

ICHIKAWA, 26 Mac – Punch, monyet yang menjadi tumpuan ramai, kini semakin membesar sehingga melebihi saiz orang utan mainannya dan mula berinteraksi dengan kelompok spesies itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Punch mula menunjukkan reaksi positif, menghampiri, berkomunikasi dan bermain dengan monyet lain dalam kumpulan.
  • Kakitangan memberi orang utan mainan sebagai pengganti selepas ibunya meninggalkannya ketika lahir, membantu mengurangkan kesepian.
  • Jumlah pengunjung meningkat menyebabkan zoo menambah kakitangan dan mewujudkan peraturan untuk kawal aliran serta kurangkan tekanan pada monyet.

Ketua bahagian Zoo Ichikawa, Takashi Yasunaga berkata, Punch mula menunjukkan reaksi positif dengan berinteraksi dan bermain bersama kumpulan berkenaan.

“Baru-baru ini, dia mula secara aktif menghampiri monyet lain dengan sendirinya, cuba berkomunikasi dengan mereka, malah bermain bersama. Kami telah menyaksikan banyak adegan seperti itu, dan sebagai penjaga, ia sangat menggalakkan,” katanya.

Kakitangan zoo memberi Punch dengan orang utan mainan sebagai ‘pengganti’ selepas ibunya meninggalkannya ketika lahir lapan bulan lalu.

Mainan itu mengisi kekosongan Punch, kerana bayi monyet kebiasaannya melekat pada ibu untuk membina kekuatan otot dan berlindung daripada ancaman.

Dua bulan selepas Punch dan orang utan mainannya menjadi tular, jumlah pengunjung meningkat dengan ketara. Keadaan itu menyebabkan zoo perlu menambah kakitangan dan mewujudkan peraturan baharu untuk mengawal orang ramai serta mengurangkan tekanan terhadap Punch dan kumpulan monyet di dalam sangkar.

“Apabila terlalu ramai mata tertumpu ke kawasan sangkar monyet, monyet-monyet boleh tertekan… Kami telah menetapkan peraturan pemerhatian di kawasan monyet, menambah bilangan kakitangan untuk membantu mengawal aliran pengunjung,” tambah Yasunaga.

Ramai pelancong asing termasuk antara puluhan pengunjung yang sanggup meredah hujan lebat untuk melihat monyet popular itu. Namun, ada juga pengunjung seperti Mariko Aikawa, 28 tahun, yang hanya ingin melihat Punch memeluk mainannya.

“Saya rasa ini tanda dia sedang membesar, atau mungkin mula berdikari, tetapi saya agak berharap dapat melihat Punch dengan mainan itu, jadi sedikit mengecewakan,” kata Aikawa, seorang penduduk bandar Ichikawa.- REUTERS