Protes besar-besaran anti-AS di Iraq

Ribuan penyokong pemimpin politik Iraq yang berpengaruh, Muqtada al-Sadr, mengadakan demonstrasi aman secara besar-besaran di Basra dan Baghdad/ REUTERS

BAGHDAD, 5 April – Ribuan penyokong pemimpin politik Iraq yang berpengaruh, Muqtada al-Sadr, mengadakan demonstrasi aman secara besar-besaran pada Sabtu di Basra dan Baghdad bagi membantah kehadiran Amerika Syarikat (AS) di rantau itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekurang-kurangnya 108 orang maut sejak krisis bermula, termasuk orang awam, anggota polis dan tentera.
  • Iraq menutup lintasan sempadan Shalamcheh selepas serangan udara di Iran membunuh seorang rakyat Iraq, menjejaskan laluan bekalan penting.
  • Presiden AS mengugut serangan besar terhadap Iran dan mengancam meningkatkan serangan jika Iran tidak membuat perjanjian atau buka Selat Hormuz.

Protes berkenaan berlangsung ketika konflik melibatkan Israel dan AS terhadap Iran memasuki minggu keenam, yang telah mencetuskan ketegangan di Asia Barat.

Pihak berkuasa kesihatan Iraq memaklumkan sekurang-kurangnya 108 orang terbunuh sejak krisis itu bermula, termasuk orang awam, serta anggota polis dan tentera.

Iraq turut menutup lintasan sempadan Shalamcheh dengan Iran pada Sabtu selepas serangan udara di sebelah Iran mengorbankan seorang rakyat Iraq, menurut sumber keselamatan. Penutupan itu menjejaskan laluan bekalan penting antara kedua-dua negara.

Menurut sumber keselamatan dan tenaga dua dron dilaporkan menyerang medan minyak Rumaila Utara, mengakibatkan tiga pekerja Iraq cedera.

Presiden AS, Donald Trump, dilihat mengeluarkan kenyataan bercampur antara memberi bayangan kemajuan diplomatik dan mengancam untuk melancarkan serangan besar terhadap Iran.

Pada Sabtu, beliau sekali lagi mengulangi ancaman untuk meningkatkan serangan sekiranya Iran gagal mencapai perjanjian atau membuka laluan perairan strategik Selat Hormuz.

Sementara itu, Komando Tentera Bersama Khatam al-Anbiya Iran memaklumkan Iraq akan dikecualikan daripada sebarang sekatan transit melalui Selat Hormuz, menurut laporan media Iran, sekali gus memberi kelebihan kepada Baghdad ketika Tehran memperketat kawalan ke atas laluan berkenaan.- REUTERS