Proses kiraan undi PRU Bangladesh bermula

Foto REUTERS

DHAKA, 13 Februari- Proses pengiraan pilihan raya umum (PRU) Bangladesh bermula pada Khamis, selepas puluhan juta rakyat negara itu menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Proses pengiraan undi PRU ke-13 Bangladesh bermula pada Khamis, selepas puluhan juta pengundi hadir.
  • Pilihan raya dijalankan selepas penyingkiran Perdana Menteri Sheikh Hasina pada 2024 oleh kebangkitan Generasi Z.
  • Keputusan dianggap penting untuk memulihkan kestabilan negara dan menstabilkan industri pakaian yang terjejas.
  • Referendum turut diadakan mengenai pindaan Perlembagaan termasuk kerajaan sementara, Parlimen dwikamar dan had dua penggal.

PRU yang diadakan itu susulan penyingkiran Perdana Menteri Sheikh Hasina pada 2024 menerusi kebangkitan yang dipelopori Generasi Z.

Menurut penganalisis, keputusan pilihan raya itu penting bagi memulihkan kestabilan negara yang mempunyai 175 juta penduduk itu selepas ketidaktentuan turut menjejaskan
industri pakaian, pengeksport kedua terbesar dunia.

Ia merupakan pilihan raya pertama di dunia selepas pemberontakan yang diketuai golongan bawah 30 tahun, atau Gen Z, disusuli Nepal bulan depan.

“Ia bagaikan permulaan baharu untuk negara. Jadi atas sebab itulah saya datang untuk mengundi,” kata Atif Ahmed, 30.

Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan pengiraan undi bermula pada pukul 4.30 petang waktu tempatan, dengan keputusan penuh dijangka seawal pagi Jumaat.

Untuk rekod, pilihan raya itu menyaksikan persaingan antara Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dengan Jamaat-e-Islami.

Berdasarkan tinjauan, ia memihak kepada BNP.

Turut diadakan referendum bagi cadangan pindaan Perlembagaan termasuk penubuhan kerajaan sementara berkecuali, Parlimen dwikamar dan had dua penggal jawatan perdana menteri. – Reuters