
TEHRAN, 13 Mac – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian membuat kemunculan ‘luar biasa’ di khalayak ramai sempena sambutan Hari Al-Quds di sini hari ini, ketika ketegangan memuncak susulan laporan serangan udara oleh rejim Zionis di ibu kota itu.
- Video menunjukkan Pezeshkian berswafoto dan berjabat tangan dengan warga, menonjolkan suasana tenang di tengah kebimbangan keselamatan.
- Agensi antarabangsa Reuters mengesahkan rakaman melalui analisis bangunan, susun atur jalan dan premis perniagaan.
- Media tempatan mengesahkan perhimpunan pro kerajaan di lokasi yang sama.
- Press TV melaporkan seorang wanita maut akibat serangan udara berhampiran lokasi perhimpunan.
Dalam rakaman video yang dikeluarkan, Pezeshkian dilihat berjalan santai di sepanjang jalan di Tehran menyantuni warga kota dengan berswafoto dan berjabat tangan sebagai simbol ketenangan di tengah-tengah ancaman keselamatan.
Agensi berita antarabangsa Reuters mengesahkan lokasi rakaman tersebut melalui analisis bangunan, susun atur jalan dan premis perniagaan yang sepadan dengan imej satelit serta arkib kawasan berkenaan.
Walaupun tarikh rakaman tidak dapat disahkan secara bebas sepenuhnya, data menunjukkan tiada versi video tersebut dimuat naik ke internet sebelum 13 Mac.
Selain itu, rakaman media tempatan turut mengesahkan penganjuran perhimpunan menyokong kerajaan di lokasi yang sama pada hari ini.
Media rasmi Iran, Press TV melaporkan seorang wanita maut akibat serangan udara yang dilancarkan berhampiran lokasi perhimpunan Hari Al-Quds, acara tahunan yang diadakan di seluruh Iran bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki Israel.
Kehadiran Pezeshkian bersama Menteri Luar, Abbas Araqchi di perhimpunan tersebut disifatkan oleh media tempatan sebagai isyarat penentangan terhadap tindakan Israel.-REUTERS