Presiden Colombia gesa dialog keamanan elak perang nuklear

Gustavo Petro/ REUTERS

POPAYAN, 4 Mac – Presiden Colombia, Gustavo Petro mengecam konflik di Asia Barat dan menyifatkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio sebagai tidak tepat dalam pendekatannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Petro menggesa Amerika Latin memimpin dialog untuk mengelak perang nuklear yang menjejaskan seluruh umat manusia.
  • Beliau mengkritik pendekatan Setiausaha Negara AS sebagai tidak tepat dan mengecam tindakan ketenteraan menyalahi undang-undang.
  • Petro menekankan konflik Asia Barat melibatkan serangan dan rundingan yang gagal, meningkatkan risiko eskalasi serantau.

Beliau turut menggesa Amerika Latin memimpin usaha dialog bagi mengelakkan tercetusnya perang nuklear.

Petro berucap di bandar Popayan, barat Colombia mengenai konflik ketenteraan semasa di Asia Barat dan memberi amaran tentang ancaman nuklear terhadap umat manusia, yang menurutnya tidak akan terkecuali menjejaskan Colombia.

Pada 28 Februari lalu, kerajaan Colombia dalam satu kenyataan turut mengecam serangan AS dan Israel ke atas Iran.

“Tidak boleh menerima tindakan ketenteraan yang menyalahi undang-undang. Pencerobohan dan pengeboman kedutaan juga tidak boleh diterima. Di sebalik konflik ini adalah keengganan untuk menjadikan Palestin sebagai sebuah negara merdeka serta isu pasaran minyak” kata Petro menerusi hantaran di platform X pada Selasa.

Pasukan AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada hujung minggu lalu selepas rundingan berhubung program nuklear Tehran menemui jalan buntu.

Konflik itu kemudian merebak dengan pantas melangkaui sempadan Iran, apabila serangan balas Iran dilaporkan menyasarkan kedutaan AS di Arab Saudi dan Kuwait, sekali gus mendorong Washington menutup misi diplomatiknya di seluruh rantau berkenaan.- REUTERS