Polis Thailand dakwa pemandu kereta api dalam nahas di Bangkok

Foto AFP 

BANGKOK, 17 Mei – Polis Diraja Thai memfailkan dakwaan terhadap pemandu kereta api yang terlibat dalam perlanggaran maut pada Sabtu dengan bas awam berhampiran Stesen Makkasan Laluan Rel Lapangan Terbang kerana menyebabkan kematian dan kecederaan serius akibat kecuaian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyiasat mungkin memfailkan pertuduhan tambahan selepas melengkapkan pengumpulan bukti dan temubual saksi.
  • Pemandu kereta api cedera dan masih menerima rawatan, siasatan terhadapnya diteruskan.
  • Perlanggaran di persimpangan Makkasan menyebabkan bas terbakar, lapan maut dan sekurang-kurangnya 32 cedera.
  • Pegawai kawalan penghadang disoal siasat, dibenarkan pulang tetapi mungkin dipanggil semula untuk keterangan.

Dalam satu kenyataan, Balai Polis Metropolitan Makkasan memaklumkan penyiasat mungkin mempertimbangkan untuk memfailkan pertuduhan tambahan selepas melengkapkan pengumpulan bukti dan temu bual saksi.

“Polis pada mulanya mendakwa pemandu kereta api itu menyebabkan kematian dan kecederaan serius akibat kecuaian,” menurut kenyataan itu dalam perkembangan terkini siasatan yang dikeluarkan pada Ahad.

Ia menambah pemandu kereta api, yang cedera dalam nahas itu, masih dalam siasatan sementara menerima rawatan.

Kemalangan berlaku kira-kira 3.40 petang di persimpangan kereta api berhampiran Stesen Makkasan di Bangkok, apabila kereta api barang itu melanggar sebuah bas penumpang yang berhenti di landasan, menyebabkan lapan maut.

Nahas itu yang menyebabkan bas berkenaan terbakar, turut mencederakan sekurang-kurangnya 32 orang dan merosakkan beberapa kenderaan lain.

Polis berkata setakat ini tiada pertuduhan difailkan terhadap pegawai kawalan penghadang kereta api itu, yang telah disoal siasat.

“Selepas memberi kenyataan, pegawai itu dibenarkan pulang tetapi akan dipanggil semula untuk disoal siasat kerana polis terus mengumpul keterangan dan menyemak bukti sekeliling sebelum memutuskan sama ada individu tambahan perlu menghadapi pertuduhan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, polis berkata pemandu bas terbabit masih dirawat di hospital selepas melecur pada bahagian bawah badan.

Penyiasat sedang menunggu keadaan pemandu pulih sebelum menjalankan siasatan lanjut, manakala tiada pertuduhan dipertimbangkan pada peringkat ini.

Polis menegaskan selain prosiding undang-undang, keutamaan adalah untuk membantu mangsa kemalangan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.