
BRITISH COLUMBIA, 12 Februari– Polis Kanada pada Rabu mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dalam insiden tembakan maut di sebuah sekolah, ialah seorang wanita berusia 18 tahun yang mempunyai masalah kesihatan mental.
- Penyerang dikenal pasti sebagai wanita 18 tahun dengan masalah kesihatan mental, menurut pihak berkuasa.
- Jumlah korban disahkan sembilan orang termasuk penyerang, selepas semakan angka awal.
- Insiden dianggap antara keganasan bersenjata paling berdarah dalam sejarah Kanada.
Bagaimanapun, motif serangan berkenaan masih belum didedahkan.
Kawasan sekolah dan lokasi kejadian di Tumbler Ridge, sebuah komuniti terpencil dengan kira-kira 2,400 penduduk di wilayah British Columbia, telah dipasang pita keselamatan polis ketika pihak berkuasa mengawal kawasan berkenaan.
Penyerang yang dikenal pasti sebagai Jesse Van Rootselaar meninggal dunia akibat bunuh diri selepas kejadian tembakan pada Selasa.
Polis turut menyemak semula angka korban kepada sembilan orang termasuk penyerang, berbanding laporan awal seramai 10 orang.
Timbalan Pesuruhjaya Dwayne McDonald, yang juga Komander Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP) British Columbia, berkata Van Rootselaar pernah beberapa kali ditahan di bawah Akta Kesihatan Mental wilayah itu bagi tujuan penilaian.
Beliau turut memaklumkan penyerang pernah bersekolah di institusi berkenaan, namun berhenti empat tahun lalu.
Insiden itu disenaraikan antara kejadian tembakan paling berdarah dalam sejarah Kanada.
Walaupun negara itu mempunyai undang-undang senjata api yang lebih ketat berbanding Amerika Syarikat (AS), pemilikan senjata api masih dibenarkan dengan lesen sah. -REUTERS