
JAKARTA, 25 Februari – Polis Indonesia membongkar sindiket pemerdagangan bayi yang didakwa menjual bayi menerusi platform media sosial dengan berselindung sebagai proses pengambilan anak angkat berikutan penahanan 12 suspek dan penemuan tujuh bayi.
- 12 suspek ditahan dan tujuh bayi ditemui, dipercayai mangsa sindiket jual bayi.
- Sindiket guna Facebook dan TikTok, menyamar sebagai urus niaga pengambilan anak angkat.
- Rampasan barang bukti termasuk telefon, kad ATM dan dokumen; siasatan lanjut dan penilaian sosial dijalankan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bareskrim) Nunung Syaifuddin berkata rangkaian itu beroperasi di beberapa wilayah sejak 2024 dan telah mengaut keuntungan haram bernilai ratusan juta rupiah.
“Penyiasat telah menamakan 12 suspek, mendapatkan bukti penting dan menyelamatkan tujuh bayi yang menjadi mangsa,” katanya seperti dilaporkan oleh Agensi Berita ANTARA, pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Unit Perlindungan dan Antipemerdagangan Wanita dan Kanak-Kanak Bareskrim Nurul Azizah berkata sindiket itu dipercayai mengeksploitasi platform seperti Facebook dan TikTok untuk memasarkan bayi kepada bakal ibu bapa angkat, menyamari urus niaga itu sebagai proses mengambil anak angkat atau mendapatkan hak penjagaan anak yang sah.
Beliau berkata kegiatan jenayah itu merangkumi Jakarta, Banten, Yogyakarta, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Sulawesi Selatan, Jambi, Bali, Kalimantan, Kepulauan Riau dan Papua, menunjukkan rangkaian yang luas dan terkoordinasi.
Nurul Azizah berkata daripada 12 suspek itu, lapan didakwa bertindak sebagai broker yang mendapatkan dan menguruskan jualan, manakala empat ibu bapa kandung didakwa menjual bayi mereka sendiri.
Beliau berkata pihak berkuasa merampas 21 telefon bimbit, 17 kad ATM, 74 dokumen dan beg berisi bekalan bayi, dipercayai berkaitan operasi haram itu.
Katanya suspek disiasat di bawah Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia yang memperuntukkan hukuman berat dalam kes melibatkan pemerdagangan dan eksploitasi kanak-kanak manakala siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan mangsa lain serta aliran kewangan berkaitan sindiket itu.
Tujuh bayi yang diselamatkan kini menjalani proses penilaian oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial, tambahnya. – BERNAMA