PM baharu Thailand Khamis ini, Anutin dijangka kekal

Foto REUTERS

BANGKOK, 17 Mac – Perdana Menteri sementara Thailand dan pemimpin Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul dijangka dicalonkan sebagai Perdana Menteri Thailand pada Khamis ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pentadbiran akan fokus mengurus ekonomi lembap, hubungan tegang dengan Kemboja susulan pertempuran sempadan dan ketidaktentuan politik.
  • Dilahirkan dalam keluarga politik dan usahawan, beliau belajar kejuruteraan di Amerika Syarikat dan mengetuai syarikat pembinaan keluarga, Sino Thai.
  • Kerjaya politik: Timbalan Menteri Kesihatan 2004, larangan politik selepas 2007, kembali 2012 sebagai pemimpin Bhumjaithai dan memegang portfolio menteri.

Ia berikutan kemenangan parti itu dalam pilihan raya umum pada 8 Februari lalu.

Menurut Anutin, dengan keadaan ekonomi yang lembap, hubungan tegang dengan Kemboja susulan pertempuran maut di sempadan serta ketidaktentuan politik yang kembali memuncak, usaha mengurus cabaran tersebut dijangka menjadi fokus utama pentadbirannya.

Dilahirkan dalam keluarga ahli politik dan usahawan berpengaruh, Anutin melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Amerika Syarikat sebelum menerajui syarikat pembinaan milik keluarganya, Sino Thai, sebagai presiden.

Beliau kemudiannya memasuki pentadbiran kerajaan sebagai Timbalan Menteri Kesihatan pada tahun 2004. Namun kerjayanya terhenti selama lima tahun selepas dikenakan larangan politik berikutan pembubaran parti Thai Rak Thai pada tahun 2007.

Anutin kembali aktif dalam politik pada tahun 2012 sebagai pemimpin Parti Bhumjaithai.

Sejak itu, beliau memanfaatkan rangkaian pengasas parti, Newin Chidchob serta hubungan dengan kelompok konservatif bagi memperoleh kedudukan dalam beberapa pentadbiran kerajaan, termasuk paling terbaharu sebagai Menteri Dalam Negeri dalam dua pentadbiran yang diterajui Parti Pheu Thai.

Di luar politik, beliau meminati aktiviti penerbangan rekreasi yang kadangkala digunakan bagi membantu pengangkutan organ pendermaan dalam situasi kecemasan.-REUTERS