Pesawat terhempas Bolivia : Polis lepas gas pemedih mata surai orang ramai kutip wang kertas

FOTO REUTERS

EL ALTO, 28 Februari – Polis Bolivia melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai yang didakwa cuba mengutip wang kertas bertaburan di lokasi nahas pesawat tentera di El Alto pada malam Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai yang cuba mengutip wang kertas di lokasi nahas.
  • Pesawat Hercules tentera terhempas berhampiran Lapangan Terbang El Alto, mengorbankan 15 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 30.
  • Rakaman menunjukkan pergelutan antara orang awam dan polis serta kerosakan teruk pada pesawat dan kenderaan sekitar.
  • Pihak berkuasa menubuhkan lembaga siasatan; kementerian menjanjikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa dan keluarga.

Menurut laporan televisyen tempatan, sebuah pesawat Hercules milik Tentera Udara Bolivia yang membawa wang kertas baharu dari bank pusat negara itu terhempas di sebuah jalan utama berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa El Alto, mengorbankan 15 individu serta mencederakan sekurang-kurangnya 30 yang lain.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan pesawat berkenaan berlepas dari bandar Santa Cruz sebelum terhempas selepas mendarat dan terbabas dari landasan ke jalan berhampiran.

Rakaman Reuters menunjukkan polis melepaskan kanister gas pemedih mata ketika orang ramai bertempiaran melarikan diri daripada kepulan gas. Beberapa imej lain turut memaparkan insiden pergelutan apabila individu awam membaling objek ke arah pihak berkuasa, sementara anggota polis bertindak mengosongkan kawasan kejadian.

Lapangan Terbang Antarabangsa El Alto ditutup sementara susulan nahas tersebut, menurut kenyataan syarikat penerbangan nasional Boliviana de Aviacion, yang turut menjelaskan pesawat terbabit bukan milik armadanya.

Rakaman video yang disiarkan media tempatan menunjukkan pesawat mengalami kerosakan teruk, selain beberapa kenderaan di sepanjang jalan lokasi nahas turut musnah.

Sementara itu, Komander Jeneral Tentera Udara Bolivia (FAB), Sergio Lora, mengumumkan penubuhan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca nahas pesawat Hercules C-130 yang terhempas pada Jumaat.

Pesawat berdaftar FAB-81 itu dilaporkan membawa dana milik Bank Pusat Bolivia serta dinaiki lapan kru ketika kejadian berlaku.

Menteri Pertahanan, Marcelo Salinas, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berjanji menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada semua pihak yang terjejas akibat tragedi berkenaan.-REUTERS