Pertikaian pencen cetus mogok, banyak penerbangan Lufthansa batal

FOTO REUTERS

FRANKFURT, 12 Februari – Syarikat penerbangan Lufthansa berdepan gangguan besar pada Khamis susulan mogok 24 jam yang dianjurkan kesatuan juruterbang Jerman, Vereinigung Cockpit (VC) berhubung pertikaian pencen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mogok 24 jam oleh kesatuan juruterbang VC akibat pertikaian pencen, selepas rundingan gagal.
  • Banyak penerbangan Lufthansa dan unit kargo dibatalkan, menjejaskan puluhan ribu penumpang.
  • Lufthansa berusaha menempah semula penumpang terjejas dengan penerbangan kumpulan atau rakan kerjasama.
  • Mogok berlaku ketika acara besar berlangsung di Jerman, menambah gangguan logistik dan perjalanan.

Tindakan tersebut sekali gus menyebabkan banyak penerbangan syarikat utama dan unit kargo Lufthansa Cargo dibatalkan serta menjejaskan puluhan ribu penumpang.

Presiden VC, Andreas Pinheiro berkata tindakan mogok itu diambil selepas rundingan tidak membuahkan hasil, selain menjadi satu-satunya tekanan selepas ahli kesatuan tahun lalu meluluskan tindakan industri bagi menuntut penambahbaikan faedah persaraan.

Rundingan dengan syarikat penerbangan itu kini disambung semula namun masih tidak mencapai kata putus.

Paparan jadual berlepas di lapangan terbang Frankfurt dan Munich menunjukkan banyak pembatalan termasuk penerbangan jarak jauh.

Lufthansa memaklumkan pihaknya sedang berusaha menempah semula penumpang yang terjejas ke penerbangan syarikat kumpulan atau rakan kerjasama.

Mogok melibatkan kesatuan juruterbang VC dan kesatuan kru kabin UFO itu berlaku ketika Festival Filem Berlin bermula di ibu negara Jerman, selain menjelang Persidangan Keselamatan Munich yang bermula Jumaat. – REUTERS