Pertempuran di sempadan Afghanistan-Pakistan memuncak

Foto hiasan / AFP

KABUL, 25 Februari – Ketegangan di sempadan Afghanistan dan Pakistan terus memuncak dengan anggota tentera kedua-dua negara berbalas tembakan pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbalahan bersenjata meletus di sempadan Afghanistan-Pakistan antara pasukan kedua-dua negara.
  • Kedua-dua pihak saling menuduh; Pakistan dakwa serangan tanpa provokasi, Afghanistan kata tembakan datang dari Pakistan.
  • Serangan udara Pakistan beberapa hari sebelum itu menyebabkan kematian orang awam dan anggota, mencetuskan ketegangan.
  • Hubungan dua negara merosot, banyak pintu sempadan ditutup selepas pertempuran maut sebelumnya.

Pegawai kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain mencetuskan pertempuran.

Menurut Ketua Jabatan Penerangan wilayah Nangarhar, Zabihullah Noorani, tembakan dilepaskan dari arah Pakistan ke Afghanistan sebelum dibalas pasukan pengawal sempadan.

“Ketika ini, pertempuran sudah dihentikan dan tiada korban di pihak kami,” katanya kepada AFP.

Di Pakistan, Jurucakap Perdana Menteri Shehbaz Sharif menuduh pasukan Afghanistan melancarkan tembakan tanpa provokasi di sepanjang sempadan.

“Pasukan keselamatan Pakistan bertindak balas segera dan berjaya menamatkan pencerobohan Taliban,” kata Mosharraf Zaidi menerusi platform X.

Pertempuran berkenaan berlaku beberapa hari selepas Pakistan melancarkan serangan udara ke atas wilayah Nangarhar dan Paktika di Afghanistan yang mengorbankan 17 nyawa, pada Ahad.

Islamabad mendakwa serangan itu menyasarkan kumpulan bersenjata di negara itu.

Misi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan mengesahkan sekurang-kurangnya 13 orang awam terkorban dalam serangan udara tersebut.

Bagaimanapun, Kerajaan Afghanistan mendakwa sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam serangan berkenaan dan menafikan dakwaan Pakistan bahawa operasi ketenteraan itu mengorbankan lebih 80 militan.

Hubungan kedua-dua negara jiran itu merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan kebanyakan pintu masuk sempadan darat ditutup susulan pertempuran maut pada Oktober lalu yang mengorbankan lebih 70 nyawa di kedua-dua pihak.

Islamabad menuduh Kabul gagal bertindak terhadap kumpulan militan yang melancarkan serangan di Pakistan, dakwaan yang dinafikan kerajaan Taliban.

Tentera Pakistan melancarkan siri serangan udara terbaharu itu susulan beberapa insiden pengeboman bunuh diri yang meragut banyak nyawa.