
BEIJING, 8 Mac – Perang yang sedang berlaku di Asia Barat tidak sepatutnya berlaku, demikian tegas Menteri Luar China, Wang Yi.
- Beijing mengutuk tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel di Iran, termasuk pembunuhan pemimpin tertinggi Ali Khamenei.
- Wang Yi menegaskan dunia tidak patut kembali kepada hukum rimba; kekuatan besar bukan alasan yang sah untuk keganasan.
- China dan Amerika Syarikat mesti sediakan persiapan rapi, urus perbezaan dan elak gangguan tidak perlu untuk kestabilan hubungan.
“Penumbuk yang kuat tidak bermakna alasan yang kuat. Dunia tidak boleh kembali kepada hukum rimba,” katanya yang mengecam perang susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran itu dalam satu sidang media di sini.
Kenyataan itu dikeluarkan semasa perhimpunan politik tahunan China dikenali sebagai ‘Dua Sesi’, yang bermula minggu ini.
Mesyuarat serentak parlimen dan badan perunding politik negara itu menjadi perhatian bagi mendapatkan gambaran mengenai strategi geopolitik pemimpin China susulan situasi global yang berlaku ketika ini.
Beijing sebelum ini mengkritik tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel di Iran serta secara khusus mengecam pembunuhan pemimpin tertinggi negara itu, Ali Khamenei.
Dalam pada itu, Wang Yi dalam sidang media sama turut menekankan agar Amerika Syarikat menyelesaikan perbezaannya dengan China.
“Tahun ini sememangnya merupakan tahun yang penting bagi hubungan Beijing dan Washington.
“China dan Amerika Syarikat mesti membuat persiapan rapi, mewujudkan persekitaran yang sesuai, mengurus perbezaan sedia ada dan menghapuskan gangguan yang tidak perlu,” katanya.
Hubungan kedua-dua negara menjadi tegang sejak Presiden Donald Trump kembali ke White House tahun lalu, disusuli perang perdagangan yang menyaksikan Amerika Syarikat dan China mengenakan tarif balas terhadap barangan masing-masing. – AFP