Pentadbiran Trump mohon tangguh prosiding bayaran balik tarif

Presiden AS, Donald Trump / REUTERS

WASHINGTON, 28 Februari – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memohon penangguhan prosiding undang-undang berkaitan bayaran balik tarif kepada pengimport susulan keputusan Mahkamah Agung membatalkan pelaksanaan duti global sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pentadbiran memohon penangguhan hingga empat bulan untuk prosiding bayaran balik tarif di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa.
  • Kerajaan minta tambahan 90 hari supaya cawangan eksekutif dan legislatif boleh menilai pilihan berkaitan isu itu.
  • Mahkamah Agung batalkan sebagian besar tarif Trump, membuka laluan litigasi rumit bagi pengimport menuntut bayaran balik.

Menurut dokumen mahkamah yang difailkan pada Jumaat, kerajaan AS memohon penangguhan sehingga empat bulan sebelum proses litigasi berhubung bayaran balik itu diteruskan di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat.

Keputusan Mahkamah Agung minggu lalu dilihat sebagai tamparan besar terhadap dasar ekonomi utama Trump dan membuka laluan kepada proses bayaran balik yang dijangka rumit apabila pengimport mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut semula wang mereka.

Dalam pemfailan tersebut, kerajaan memaklumkan Mahkamah Agung lazimnya mengeluarkan penghakiman rasmi 32 hari selepas keputusan dibuat dalam kes semakan dari mahkamah persekutuan.

Pentadbiran Trump turut memohon tambahan tempoh 90 hari bagi memberi ruang kepada cabang eksekutif dan legislatif menilai pilihan yang ada berkaitan isu berkenaan.

Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat bagi Sirkit Persekutuan sebelum ini memutuskan pada Ogos tahun lalu bahawa sebahagian besar tarif yang dikenakan Trump adalah tidak sah, namun persoalan bayaran balik diserahkan kepada Mahkamah Perdagangan Antarabangsa.

Mahkamah itu bagaimanapun menangguhkan pelaksanaan mandat selepas Trump membawa kes berkenaan ke Mahkamah Agung.

Mahkamah Agung minggu lalu memutuskan Trump melangkaui bidang kuasanya apabila mengenakan duti menyeluruh terhadap pelbagai negara, sekali gus membatalkan tarif tersebut, namun keputusan itu tidak melibatkan tarif khusus sektor seperti keluli dan automotif.

Susulan keputusan itu, Trump menggunakan peruntukan undang-undang lain untuk mengenakan tarif baharu sebanyak 10 peratus ke atas import ke Amerika Syarikat.

Terdahulu, Trump sekali lagi mengkritik keputusan mahkamah tertinggi itu menerusi platform Truth Social, dengan mendakwa keputusan berkenaan membolehkan negara dan syarikat asing terus “mengambil kesempatan” terhadap Amerika Syarikat.-AFP