
UBRIQUE, 9 Februari – Penduduk di bandar pergunungan Ubrique, wilayah Andalusia dilanda kebimbangan apabila terpaksa meredah jalan yang dinaiki air susulan hujan lebat berterusan pada Ahad.
- Hujan lebat berterusan selepas Ribut Marta menyebabkan banjir dan kebimbangan tinggi dalam kalangan penduduk Ubrique.
- Pasukan kecemasan membersihkan pembetungan dan memperkukuh benteng keselamatan bagi mengawal peningkatan paras air.
- Penduduk terpaksa meninggalkan rumah; jalan raya ditutup dan perkhidmatan rel turut terganggu di rantau berdekatan.
Seorang penduduk tempatan, Mari Carmen Lopez, 72, berkata situasi yang dialaminya kali ini menimbulkan perasaan cemas kerana aliran air deras melanda kawasan itu.
“Saya pernah mengalaminya sebelum ini, tetapi kali ini jauh lebih teruk. Dahulu, hujan hanya berlaku sehari atau dua dan tidak sebanyak ini. Kali ini saya benar-benar berasa cemas, tidak pasti dan takut,” katanya.
Pasukan kecemasan giat membersihkan sistem pembetungan kampung serta memperkukuh benteng keselamatan selepas Ribut Marta membawa hujan lebat dan peningkatan paras air.
Semenanjung Iberia sebelum ini telah dilanda beberapa siri ribut dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, yang menyebabkan hujan lebat, ribut petir, salji serta angin kencang, sebelum ketibaan Ribut Marta.
Menurut Lopez, walaupun keadaan kelihatan sedikit reda pada waktu siang, penduduk masih berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan amaran cuaca tahap kuning dijangka dikeluarkan semula pada sebelah malam.
“Hari ini kelihatan seperti ada sedikit kelegaan, tetapi kami tahu amaran kuning akan dikeluarkan semula malam ini. Air yang terkumpul di kawasan pergunungan dan akuifer akhirnya pasti akan keluar,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Pepi Caro berkata, keadaan di rumahnya masih tidak dapat diketahui selepas kejadian banjir melanda kawasan itu.
“Kami benar-benar tidak berdaya kerana tidak tahu bagaimana keadaan di dalam rumah. Semalam rumah dimasuki air dan anggota bomba bersama anak-anak saya mengepam keluar air, namun sehingga kini kami masih tidak tahu keadaannya.
“Kami berharap semua ini akan berakhir tidak lama lagi. Buat masa ini, tiada apa yang boleh dilakukan selain menunggu, dan semakin lama menunggu, semakin terdesak perasaan kami,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, lebih 11,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing di wilayah selatan Andalusia, manakala hampir 170 jalan raya ditutup di seluruh Sepanyol. Gangguan perkhidmatan rel turut dilaporkan berlaku di Portugal.- REUTERS