
TEBING BARAT, 23 Februari – Penduduk negara haram Israel terus bertindak biadab apabila membakar sebuah masjid di Tebing Barat pada Isnin.
- Pembakaran sebahagian Masjid Abu Bakar al-Siddiq oleh penduduk Israel di perkampungan Tell, disertai contengan slogan perkauman.
- Kementerian Wakaf mengutuk tindakan itu sebagai kebiadaban dan penghasutan terhadap tapak suci Islam.
- Serangan turut dilaporkan sebelum ini; 45 kes terhadap warga Palestin tahun lalu, dan penduduk setempat tekad membina semula.
Kementerian Hal Ehwal Agama Palestin berkata, masjid terlibat ialah Masjid Abu Bakar al-Siddiq di perkampungan Tell.
“Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama mengecam percubaan sekumpulan peneroka haram untuk membakar sebahagian daripada Masjid Abu Bakar al-Siddiq.Selain itu mereka juga menconteng dinding masjid dengan slogan perkauman.
“Pembakaran sebahagian masjid jelas menunjukkan kebiadaban penghasut perkauman Israel di tapak suci Islam,”kata kementerian itu dalam kenyataan.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Tambah kenyataan itu, penduduk Israel juga turut melakukan serangan ke atas warga Palestin dengan 45 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu.
Sementara itu, Gabenor wilayah Nablus, Ghassan Daghlas mengutuk serangan berkenaan yang menyifatkan ia keterlaluan terutama pada bulan Ramadan.
“Mereka membakar masjid dan kami yang membinanya semula. Ini tanah kami, tanah Palestin”, katanya