
SEOUL, 14 Januari – Pasukan pendakwa raya khas Korea Selatan menuntut hukuman mati ke atas bekas Presiden Yoon Suk Yeol atas pengisytiharan undang-undang tentera, menyifatkan beliau sebagai dalang satu pemberontakan yang mahu mengekalkan kuasa dengan mengawal badan kehakiman dan perundangan, lapor agensi berita Yonhap.
- Pendakwa khas menuntut hukuman mati ke atas bekas Presiden Yoon atas pengisytiharan undang‑undang tentera yang didakwa pemberontakan.
- Pendakwa berhujah Yoon mahu kekal berkuasa dengan mengawal badan kehakiman dan perundangan serta menggunakan sumber negara secara salah.
- Yoon menafikan bersalah, berkata tindakan itu untuk lindungi kebebasan dan kedaulatan; mahkamah akan menjatuhkan hukuman pada 19 Feb.
Pasukan diketuai pendakwa raya Cho Eun-suk mengemukakan tuntutan itu pada perbicaraan terakhir Yoon di Mahkamah Daerah Tengah Seoul pada Selasa, selepas setahun bekas presiden tersebut mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Dis, 2024, yang didakwa bertujuan untuk menghapuskan gerakan antikerajaan.
Mahkamah dijangka memutuskan hukuman ke atas Yoon pada 19 Feb ini.
“Bekas Presiden Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera dengan tujuan untuk kekal berkuasa dalam masa yang lama dengan mengawal badan kehakiman dan perundangan,” kata pembantu pendakwa raya Park Eok-su.
“Sifat jenayah itu adalah serius apabila beliau menggerakkan sumber fizikal yang sepatutnya digunakan hanya untuk kepentingan negara,” katanya.
Ketika hukuman itu dikemukakan, bekas presiden berkenaan kelihatan tersenyum manakala beberapa penyokongnya melontarkan kata-kata kesat.
Dalam kenyataan akhirnya selama 90 minit, Yoon mengulangi pengakuan tidak bersalah, menyatakan bahawa pelaksanaan kuasa darurat perlembagaan presiden tidak boleh disamakan dengan pemberontakan.
“Ia bukan pemerintahan tentera yang menindas rakyat tetapi usaha untuk melindungi kebebasan dan kedaulatan, dan mengembalikan semula mandat perlembagaan,” kata Yoon.
Yoon didakwa pada Januari tahun lepas atas tuduhan mengetuai pemberontakan menerusi pengisytiharan undang-undang tentera.- BERNAMA