
BERLIN, 8 Mac – Satu kajian terbitan Institut Potsdam bagi Penyelidikan Impak Iklim (PIK) mendedahkan fenomena pemanasan global dilaporkan meningkat pada kadar yang ketara sejak 2015.
- Kadar pemanasan dianggarkan sekitar 0.35 darjah Celsius setiap dekad sepanjang sedekad lalu.
- Kajian menggunakan data NASA, NOAA dan Berkeley Earth serta menapis pengaruh El Nino, letusan gunung berapi dan variasi solar.
- Data diselaraskan menunjukkan lonjakan dengan kepastian statistik melebihi 98 peratus; jika berterusan, 1.5 darjah Celsius mungkin dilangkaui sebelum 2030.
Kajian tersebut mendapati kadar pemanasan sepanjang sedekad lalu dianggarkan sekitar 0.35 darjah celsius bagi setiap dekad.
Angka itu jauh lebih tinggi berbanding purata kurang daripada 0.2 darjah celsius setiap dekad yang direkodkan antara 1970 hingga 2015.
Menurut penyelidik, kadar peningkatan suhu terkini adalah yang tertinggi pernah dicatatkan bagi mana-mana dekad sejak rekod instrumental global bermula pada tahun 1880.
Kajian itu menggunakan data pemerhatian perubahan iklim daripada NASA, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) serta Berkeley Earth, sebuah organisasi penyelidikan bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di California.
Penulis bersama kajian tersebut, Grant Foster berkata, penyelidik telah menapis pengaruh faktor semula jadi yang boleh mempengaruhi trend suhu asas, termasuk fenomena El Nino, letusan gunung berapi dan variasi aktiviti solar.
Sementara itu, penyelidik PIK yang juga penulis utama kajian, Stefan Rahmstorf berkata, data yang telah diselaraskan menunjukkan lonjakan pemanasan global sejak 2015 dengan tahap kepastian statistik melebihi 98 peratus.
Beliau turut memberi amaran bahawa jika kadar pemanasan sepanjang sedekad lalu berterusan, had peningkatan suhu global 1.5 darjah celsius yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris berkemungkinan dilangkaui sebelum 2030.
Para saintis turut mendapati 11 tahun terakhir merupakan tempoh paling panas yang pernah direkodkan, dengan tahun 2024 mencatatkan suhu tertinggi, diikuti 2023 di tempat kedua.