New Zealand peringati ulang tahun ketujuh tragedi tembakan di Masjid Christchurch

Serangan tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 2019 mengorbankan 51 jemaah dan mencederakan puluhan lagi/Foto RNZ/Nate McKinnon

ISTANBUL, 15 Mac – Majlis peringatan diadakan di Christchurch bagi memberi penghormatan kepada mangsa serangan pengganas di dua buah masjid yang mengorbankan puluhan jemaah, tujuh tahun lepas, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • 51 orang terkorban dan 40 lagi cedera dalam serangan tembakan di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood pada 15 Mac 2019.
  • Perarakan "Walk the Talk for Unity" bermula di Jambatan Peringatan, dianjurkan oleh Sakinah Community Trust.
  • Majlis di Peace Bell termasuk bertafakur satu minit, pembacaan nama 51 mangsa dan upacara meletakkan kalungan bunga.
  • Pelaku Brenton Tarrant dihukum penjara seumur hidup tanpa parol pada 2020; PM Luxon memberi penghormatan dan berikrar membina keselamatan.

Seramai 51 orang terkorban manakala 40 lagi cedera dalam serangan di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood pada 15 Mac 2019, yang merupakan kejadian tembakan rambang paling berdarah dalam sejarah New Zealand.

Memetik laporan penyiar tempatan 1News, acara dimulakan dengan perarakan “Walk the Talk for Unity” di Jambatan Peringatan di pusat bandar, anjuran Sakinah Community Trust iaitu sebuah kumpulan yang diasaskan oleh balu-balu mangsa tragedi berkenaan.

Satu majlis peringatan kemudiannya diadakan di Peace Bell, taman botani, yang dimulakan dengan bertafakur selama seminit diikuti bacaan nama 51 mangsa yang terkorban. Majlis diakhiri dengan upacara meletakkan kalungan bunga.

Serangan nekad itu dilakukan oleh pelampau kulit putih warga Australia, Brenton Tarrant, di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood semasa solat Jumaat sedang berlangsung.

Pada 2020, Tarrant dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol, hukuman pertama seumpamanya yang pernah dijatuhkan di negara kepulauan itu

Perdana Menteri Christopher Luxon dalam ucapannya memberi penghormatan kepada para mangsa dan menyatakan bahawa Christchurch serta New Zealand telah “menunjukkan kepada dunia kekuatan, kasih sayang, dan perpaduan dalam menghadapi tragedi” tujuh tahun lepas.

Luxon turut berikrar untuk terus “membina sebuah negara di mana setiap orang dapat hidup dalam keamanan dan keselamatan.” – BERNAMA-ANADOLU