Negara Teluk pintas dron, peluru berpandu ketika konflik iran meruncing

 Foto AFP

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Sistem pertahanan udara di beberapa negara Teluk berada dalam tahap berjaga-jaga tinggi dan diaktifkan awal Rabu susulan laporan mengenai pelancaran dron dan peluru berpandu dari Iran, dengan Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi mengesahkan pintasan, manakala satu lagi serangan dron berasingan menyebabkan kerosakan di utara Iraq.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kuwait: Pengawal Kebangsaan mengesahkan tujuh dron telah dineutralkan, menegaskan keutamaan pada perlindungan dan kestabilan negara.
  • Erbil: Serangan dron berani mati ke arah Koy Sanjaq mencetuskan kebakaran besar; serpihan jatuh di taman kawasan kediaman.
  • Arab Saudi: Sistem pertahanan udara memintas enam dron dan satu peluru berpandu balistik; serpihan jatuh berhampiran pangkalan udara tanpa kerosakan.

Menurut Anadolu Ajansi (AA), jurucakap Pengawal Kebangsaan Kuwait Brig Jen Jadaan Fadel Jadaan berkata tujuh dron telah “dineutralkan.”

Beliau berkata unit Pengawal Kebangsaan terus mengutamakan perlindungan dan pertahanan Kuwait serta berusaha mengekalkan keselamatan dan kestabilan.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Pertahanan UAE memaklumkan sistem pertahanan udaranya sedang bertindak balas terhadap peluru berpandu dan dron yang dilancarkan dari Iran.

Menurutnya, letupan yang didengari di beberapa bahagian negara itu adalah hasil pintasan oleh sistem pertahanan udara.

Dalam perkembangan berkaitan, kebakaran besar berlaku di bandar Erbil di utara Iraq susulan serangan dron berani mati, menurut laporan media.

Dron itu dilaporkan menyasarkan daerah Koy Sanjaq. Satu letupan kedengaran selepas serangan berkenaan, mencetuskan kebakaran di lokasi impak dengan asap tebal kelihatan menjulang ke udara.

Secara berasingan, tiga letupan kuat kedengaran berturut-turut berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Erbil, yang turut menempatkan pangkalan Amerika Syarikat (AS).

Sistem pertahanan udara diaktifkan semasa serangan dron itu, dengan serpihan dron yang dineutralkan jatuh ke sebuah taman di kawasan kediaman bandar berkenaan. Pasukan keselamatan, jentera bomba dan ambulans dikerahkan ke lokasi.

Sementara itu, Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan sistem pertahanan udara Arab Saudi memintas enam dron dan satu peluru berpandu balistik dalam insiden berasingan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Mejar Jeneral Turki Al-Malki berkata enam dron itu dipintas dan dimusnahkan di Wilayah Timur.

Beliau berkata peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah daerah Al-Kharj turut dipintas dan dimusnahkan, dengan serpihannya jatuh di sekitar Pangkalan Udara Putera Sultan tanpa menyebabkan sebarang kerosakan.- BERNAMA