
WASHINGTON, 14 Januari -NASA akan membawa pulang kru terdiri daripada empat angkasawan pada awal Rabu, selepas seorang anak kapal mengalami masalah kesihatan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
- NASA membawa pulang empat angkasawan dari ISS akibat masalah kesihatan salah seorang kru.
- Kru akan berlepas menggunakan kapal angkasa SpaceX Crew Dragon untuk kembali ke Bumi.
- Semua empat dijangka mendarat di Lautan Pasifik di luar pantai California.
- NASA tidak mendedahkan identiti atau butiran lanjut mengenai masalah kesihatan tersebut.
Insiden itu merupakan kali pertama dalam sejarah Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Kru terbabit dijadualkan berlepas dari ISS menaiki kapal angkasa SpaceX Crew Dragon, menurut NASA.
Angkasawan Amerika Syarikat (AS) Zena Cardman dan Michael Fincke, angkasawan Jepun Kimiya Yui dan Oleg Platonov dari Rusia dijangka mendarat di Lautan Pasifik, di luar pesisir pantai California.
Minggu lepas, NASA membatalkan aktiviti di luar kenderaan (spacewalk) di ISS susulan masalah kesihatan anggota kru.
Agensi itu kemudian mengumumkan susulan isu tersebut, kesemua empat anggota kru akan pulang ke bumi lebih awal.
NASA enggan mendedahkan identiti anak kapal berkenaan atau maklumat lanjut mengenai masalah kesihatan itu.
Angkasawan berkenaan dilaporkan dalam keadaan stabil.
“’Crew 11’ telah berada di ISS sejak awal Ogos dan pada awalnya dijangka berada di sana untuk beberapa minggu lagi,” menurut NASA. – BERNAMA